Delegasi Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong melawat Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 Julai ini | DagangNews Skip to main content

Delegasi Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong melawat Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 Julai ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Julai - Delegasi Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) yang diketuai ketua pegawai eksekutifnya, John Lee akan mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur bagi meneroka meneroka kerjasama dan perkongsian antara Hong Kong dan Malaysia dalam pelbagai sektor pada 27 hingga 29 Julai ini.

 

Kunjungan delegasi itu merupakan anjuran Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong (HKTDC), melibatkan pegawai-pegawai utama Kerajaan HKSAR serta lebih dari 30 pemimpin perniagaan mewakili pembangunan ekonomi, perkhidmatan kewangan, inovasi, logistik, pengangkutan dan pelbagai sektor lain.

 

Pengerusi HKTDC, Dr Peter K N Lam berkata, pihaknya memudahkan peluang perniagaan antara Hong Kong dan dunia seama hampir enam dekad dan bersempena lawatan itu, mereka berhasrat mengukuhkan hubungan ekonomi antara negara itu dan negara-negara ASEAN.

 

"Lawatan ini akan menjadi platform pertukaran idea, meneroka peluangpeluang baharu dan memupuk kerjasama yang lebih erat antara perniagaan dan kerajaan. 

 

"Kami percaya bahawa dengan bekerjasama, kita dapat mencapai kejayaan dan kemakmuran bagi Hong Kong dan Malaysia serta rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Lawatan delegasi Hong Kong ke Kuala Lumpur menandakan kepentingan untuk mengukuhkan lagi ikatan ekonomi yang telah dibina antara Hong Kong dan Malaysia sejak sekian lama bagi memupuk kerjasama yang lebih baik, memacu pertumbuhan yang lebih pesat, dan membuka peluang-peluang baharu.

 

Beliau berkata, Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) China, Hong Kong memainkan peranan penting sebagai hab antarabangsa perdagangan kewangan, pelaburan dan pertukaran budaya. 

 

Katanya, Malaysia merupakan rakan dagangan dan pasaran eksport-import kedua terbesar di dalam ASEAN kepada Hong Kong.

 

"Dengan memanfaatkan lokasi strategik, perkhidmatan kewangan bertaraf dunia, rangkaian meluas serta platform berbeza untuk memudahkan peluang di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan atau Laluan Sutera Baru (BRI), Hong Kong boleh membina kekuatan kerjasama yang tidak terhad dalam  perniagaan, serta dapat memberikan manfaat yang besar kepada perniagaan, pelabur dan rakyat di seluruh rantau ini," katanya. - DagangNews.com