Dell Technologies lantik Saravanan Krishnan sebagai Pengurus Negara Malaysia | DagangNews Skip to main content

Dell Technologies lantik Saravanan Krishnan sebagai Pengurus Negara Malaysia

Pengurus Negara Malaysia Dell Technologies, Saravanan Krishnan
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Dell Technologies melantik Saravanan Krishnan sebagai Pengurus Negara bagi operasinya di Malaysia menggantikan Mak Chin Wah, yang telah menggalas peranan baharu dalam syarikat sebagai Pengurus Negara bagi Pasaran Membangun Asia. 

 

Dengan pengalaman lebih daripada 25 tahun dalam industri  Teknologi Maklumat (IT), beliau membawa kepakaran penting dalam peranan ini. 

 

Menerusi jawatan baharunya, beliau akan bertanggungjawab untuk kepimpinan keseluruhan dan pelaksanaan strategi jualan bagi mengembangkan perniagaan Dell di Malaysia.

 

Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan, Asia Selatan dan Pasaran Baru Muncul, Dell Technologies, Grainger Wallis berkata pengalaman dan pengetahuan Saravanan yang luas dalam industri IT di seluruh rantau akan membantu menyokong cita-cita teknologi pelanggan dan rakan kongsi Dell, serta mengukuhkan strategi pertumbuhan syarikat dalam pasaran rantau ini.

 

Saravanan bertekad untuk bekerjasama dengan pasukan bagi membantu pelanggan dan rakan kongsi di Malaysia memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan meneruskan perjalanan transformasi digital mereka. 

 

"Kami akan teruskan menyediakan portfolio penyelesaian dan perkhidmatan yang kukuh seperti yang dijangkakan oleh pelanggan kami," ujar beliau. 

 

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Sains Komputer & Sistem Maklumat dari Universiti Nasional Singapura itu menyertai Dell pada tahun 2015 dan sejak itu telah memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan.

 

Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar Perniagaan Penyelesaian Data Tidak Berstruktur (UDS) di seluruh Asia Pasifik, Jepun, dan Greater China (APJC). 

 

Sebelum itu, beliau adalah pengurus besar perniagaan Penyelesaian Perlindungan Data (DPS) untuk Asia Selatan dan Pasaran Baru Muncul (SAEM).

 

Sebelum menyertai Dell, Saravanan pernah memegang peranan kepimpinan dalam beberapa syarikat IT terkenal, termasuk Hitachi Vantara, HPE, Sun StorageTek dan IBM.

 

Saravanan juga aktif dalam Institut Pengarah Singapura (SID) dan pernah menjadi Pengerusi Persatuan Industri Rangkaian Penyimpanan (SNIA) rantau Asia Selatan dari tahun 2013 hingga 2015.- DagangNews.com