Deloitte gesa Malaysia kaji semula instrumen cukai sedia ada | DagangNews Skip to main content

Deloitte gesa Malaysia kaji semula instrumen cukai sedia ada

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Pemimpin dalam sektor kewangan dan percukaian Malaysia digesa untuk melakukan kajian menyeluruh terhadap instrumen sedia ada bagi menangani isu cukai yang belum dibayar oleh organisasi. 

 

Cadangan itu dibuat bertujuan menentukan instrumen yang diguna pakai manakah akan menerima impak kelak, jelas Ketua Percukaian Industri Perkhidmatan Kewangan, Mark Chan dan Ketua Pindah Harga, Subhabrata Dasgupta di Deloitte menerusi satu kenyataan bersama hari ini.

 

Ujar mereka, pengurusan impak kewangan dan risiko cukai perlu dilaksanakan secara proaktif sebelum peralihan berlaku seperti pelaksanaan dokumen atau perjanjian.

 

“Apabila peralihan memberi kesan kepada urus niaga antara kumpulan, implikasi harga pindah yang berpotensi juga harus dipertimbangkan,” jelas mereka. 

 

Dalam pada itu, Chan dan Dasgupta mengingatkan bahawa cara peralihan Kadar Tawaran Antara Bank London (LIBOR) kepada kadar bebas risiko (RFR) juga boleh mendatangkan isu cukai tidak dibayar.

 

Ini susulan pengubahsuaian atau menggantikan sesebuah kontrak yang mempunyai terma berbeza dengan ketara dan / atau penghapusan pengiktirafan dan pengiktirafan seterusnya bagi instrumen baharu boleh meningkatkan perubahan untung dan rugi (P&L).

 

Kata mereka, bagi memastikan pertikaian yang berpotensi timbul antara pihak berkuasa percukaian di Malaysia dan bidang kuasa pihak lawan dapat ditangani secara damai, keberkesanan penyesuaian P&L itu harus dipertimbangkan lebih awal.

 

“Apabila perubahan ini menghasilkan kaedah sekali bayar, sifat pembayaran dan penerimaan ini harus dipertimbangkan untuk menentukan sekiranya cukai pegangan boleh diguna pakai. Ada juga pertanyaan tentang adakah duti setem akan dikenakan pada kontrak yang diubah.

 

“Bukan sesuatu yang biasa sekiranya instrumen ini berada di luar bidang kuasa jabatan cukai dan kewangan organisasi, memandangkan 'penjaga' dokumen ini selalunya merupakan jabatan perbendaharaan atau undang-undang,” tambah kenyataan itu.

 

Bagi aspek Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa Malaysia (MFRS) 17, Chan dan Dasgupta juga mempersoalkan bagaimana kerajaan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengendalikan perubahan laporan kewangan bagi syarikat insurans dan takaful dalam rejim perundangan cukai.

 

Mereka berpendapat bahawa persatuan industri dan LHDN perlu berunding dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan sebarang pengubahsuaian kepada perundangan cukai, berhubung MFRS 17 sejajar dengan kerangka kerja kawal selia negara bagi syarikat insurans dan takaful.

 

“Laporan kewangan dan cukai serta kerangka kerja merupakan sebahagian daripada ekosistem kawal selia yang sama bagi industri insurans dan takaful. Ini adalah penting untuk ketiga-tiga elemen tersebut bergerak seiring ketika industri membuat peralihan tersebut,” ujar mereka lanjut.

 

Tambah kenyataan itu, walaupun tarikh akhir pelaksanaan MFRS 17 ditangguhkan hingga 2023, namun perincian yang jelas berkaitan instrumen itu tidak dapat diselesaikan.

 

Sementara itu, Chan dan Dasgupta juga berpendapat caj tambahan di bawah subseksyen 140A(3C) Akta Kewangan 2020 akan terus meningkatkan risiko pindah harga kepada pemain industri perkhidmatan kewangan. 

 

Ini susulan syarikat-syarikat di bawah industri itu secara umumnya mempunyai nilai transaksi antara kumpulan yang tinggi. 

 

Jelas mereka, walaupun hanya terdapat penyesuaian yang kecil kepada kadar faedah atau nilai premium, ini akan menyebabkan perubahan yang signifikan kepada pindah harga. - DagangNews.com