KUALA LUMPUR 17 Mac - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan akar umbi dan pimpinan UMNO supaya tidak melampaui batas hingga dilihat mengambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mendesak pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perdana Menteri berkata, semua pihak perlu menunggu perkara itu dibincangkan di peringkat pimpinan parti terlebih dahulu untuk memutuskan kewajaran mempercepatkan PRU-15.
Setakat ini, katanya, isu menyegerakan PRU-15 belum dibincang di peringkat parti, selain tiada yang berjumpanya untuk berbincang perkara itu.
"Kita tunggu dulu. Kita dah kata dah. Ini semua perlu dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong.
"(Kalau) kita tetap tarikh kita sendiri, nanti Yang di-Pertuan Agong kata kita ambil alih kuasa baginda. Jadi jangan kita (dilihat) ambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong.
"Kita tunggu. Apa-apa pun kita akan bincang. Mula-mula kita bincang dalam parti dulu. Parti pun tak bincang lagi. Kita ada mesyuarat parti, selepas itu barulah kita adakan perbincangan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hi-Tea dan Ramah Mesra Kelab Naib Ketua Bahagian UMNO Malaysia 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Ismail Sabri diminta mengulas desakan beberapa pihak dalam UMNO yang menggesa PRU-15 disegerakan.
Desakan itu timbul selepas Barisan Nasional (BN) menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, yang menyaksikan parti itu menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO memberi jaminan pimpinan parti akan mengambil kira pandangan akar umbi, termasuk mengenai desakan menyegerakan PRU-15 dalam menentukan usul yang akan dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) esok, menurut Berita Harian.
"Usul sayap hari ini saya tidak tahu. Malam ini kita ada mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi dan segala usul sayap akan dibincangkan," katanya.
Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) dilaporkan berkata, UMNO perlu mengambil pendirian jelas untuk menyegerakan PRU-15 dalam tahun ini juga, bukannya tahun depan.
Gesaan itu, katanya, antara lain kerana pihak lawan ketika ini berada dalam kedudukan amat lemah berdasarkan keputusan beberapa PRN baru-baru ini, selain persefahaman politik dalam kalangan pembangkang ketika ini sangat bercelaru.
Selain itu, Mohamad melihat isu jangkitan COVID-19 ketika PRU-15 dilihat tidak lagi berbangkit selepas kejayaan pelaksanaan beberapa PRN.
Beliau juga bimbang UMNO dan BN menjadi kambing hitam jika ekonomi Malaysia terjejas akibat isu global seperti perang Russia-Ukraine, ketegangan hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan rantaian bekalan global. - DagangNews.com