Dewan rakyat luluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar | DagangNews Skip to main content

Dewan rakyat luluskan Belanjawan 2021 di peringkat dasar

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Dalam penggulungan Belanjawan 2021 petang ini, Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar telah diluluskan.

 

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan itu kira-kira pukul 3.30 petang pada persidangan Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara yang bersetuju. 

 

Sejak Belanjawan 2021 dibentangkan pada 6 November lalu, seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung bermula 9 hingga 19 November lalu.

 

Pada sesi penggulungan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang berlangsung hampir satu jam, beliau turut mengumumkan penambahan kepada beberapa peruntukan dalam pembentangan Belanjawan 2021 lalu. 

 

Ini termasuk perluasan kategori pencarum yang boleh mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemberian bantuan secara ‘one-off’ dipanjangkan kepada semua kakitangan barisan hadapan, penambahan kategori penerima bantuan pesara polis serta kenaikan elaun sara hidup nelayan. 

 

Selain penambahan peruntukan dibuat, kerajaan turut bersetuju mengurangkan dana Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang sebelum ini diperuntukkan sebanyak RM85.5 juta. 

 

"Lebih 6,600 cadangan telah kerajaan pertimbangkan, termasuk juga cadangan-cadangan yang dibuat pihak pembangkang.

 

"Belanjawan ini mengandungi lebih 44 langkah strategik, lebih 186 inisiatif utama untuk kebajikan rakyat dan membina daya tahan ekonomi, supaya kita dapat mengatasi musibah besar yang melanda negara hari ini," kata Tengku Zafrul.

 

Pada sesi penggulungan berkenaan, Tengku Zafrul dicelah selama beberapa kali oleh Ahli-Ahli Parlimen sehingga suasana di Dewan Rakyat 'kecoh'.

 

Mengikut Takwim Dewan Rakyat, Belanjawan 2021 akan dibahaskan di peringkat jawatankuasa selama 10 hari sebelum undi belah bahagi diadakan sekali lagi. - DagangNews.com