Dialog dijangka kembali kukuh pada 2HFY22, AmInvestment kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Dialog dijangka kembali kukuh pada 2HFY22, AmInvestment kekal saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Jan - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Dialog Group Bhd. dengan nilai wajar (FV) tidak berubah pada RM3.75 sesaham. 

 

Dialog kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) yang menarik pada 25x, jauh di bawah 5 tahun tertinggi pada 40x.


 
Penganalisisnya, Alex Goh percaya, Dialog wajar mendapat penilaian premium berbanding pemain industri lain setelah mengambil kira perniagaan yang menjana aliran tunai berulang dalam tempoh jangka panjang disokong penarafan semula nilai pembangunan Pengerang selama beberapa tahun dan tahap gearan yang lebih rendah. 

 

Katanya, Terminal Pengerang 5 Fasa 3A yang siap pada Mac 2021 dengan kapasiti 430,000 meter padu telah meningkatkan kapasiti kasar kumpulan sebanyak 13% kepada 3.8 juta meter padu dan kapasiti bersih sebanyak 36% kepada 1.6 juta meter padu.   

 

"Terminal 5 merangkumi kawasan sehingga 50 ekar daripada 300 ekar tanah tebus guna Pengerang Fasa 3, yang boleh menampung lagi 2 hingga 2.5 juta meter padu kapasiti simpanan tangki.

 

"Namun, kami difahamkan bahawa kumpulan kini sedang berunding dengan pengambil alih yang berminat untuk pembesaran simpanan tangki tambahan memandangkan pemulihan dalam permintaan minyak global," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurut beliau, beserta tanah bersebelahan mengelilingi Fasa 3 Pengerang, Dialog masih mempunyai 500 ekar tanah yang mempunyai potensi untuk pembangunan selama beberapa tahun, termasuk pengeluaran kimia hiliran khususnya, yang mana kumpulan itu sudah berbincang dengan syarikat multinasional yang berminat.

 

"Bagaimanapun, sekatan perjalanan antarabangsa akibat penularan wabak COVID-19, melambatkan proses penyelesaian rundingan ini," tambahnya. 

 

Goh berkata, impak sekatan pergerakan yang semakin berkurangan secara beransur-ansur terhadap tenaga buruh dan penutupan sempadan berkemungkinan besar akan menyaksikan prestasi separuh kedua 2022 (2HFY22) yang lebih kukuh.

 

Ini dapat dilihat apabila untung bersih Dialog pada suku pertama berakhir 30 September 2021 susut 4% tahun ke tahun berikutan perbelanjaan projek yang lebih tinggi terutamanya bahan mentah dan kos logistik disebabkan gangguan rantaian bekalan global dan penangguhan projek. 

 

"Kumpulan juga masih dalam perbincangan dengan pelanggan untuk memulihkan beberapa kos berkaitan COVID-19 yang ditanggung pada tahun kewangan 2021 (FY21) dan separuh pertama FY22, yang mungkin termasuk di dalam pembayaran masa depan bagi kontrak jangka panjang.

 

"Di Singapura, Dialog bekerjasama rapat dengan pelanggan dan rakan kerjasama bagi mengurangkan masalah tenaga buruh menerusi kelulusan permit dan visa bagi kerja-kerja penyelenggaraan loji," jelasnya.

 

Dalam pada itu, selain memberi tumpuan kepada projek tangki penyimpanan, Dialog juga sedang meneroka penyelesaian tenaga diperbaharui seperti hidrogen, solar dan karbon sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Namun, katanya, kumpulan mengesahkan komitmennya untuk memperoleh pulangan pelaburan yang mencukupi menerusi agenda hijau.  

 

"Oleh itu, penyertaan kumpulan dalam usaha sama 51:49 untuk membina, memiliki dan mengendalikan kemudahan pengeluaran pelet polietilena tereftalat (PET) bagi gred makanan dikitar semula bernilai RM20 juta di Nilai, Negeri Sembilan dijangka mempunyai tempoh bayaran balik selama 5 tahun," katanya. 

 

Setakat 11.32 pagi ini, harga saham Dialog susut 4 sen atau 1.38% kepada RM2.86 dengan 1.26 juta saham diniagakan. - DagangNews.com