Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 April - Pengumuman penggabungan oleh dua syarikat telekomunikasi (telco) terbesar di Malaysia iaitu Digi.com Berhad dan Celcom Axiata Berhad, di mana syarikat induknya adalah Axiata Group Berhad melonjakkan pasaran tempatan untuk melepasi paras rintangan, 1,600.
Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras pasaran utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI berjaya melonjak 12.55 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,602.40 kepada 1,614.95.
Malah, kedua-dua saham Digi dan Axiata antara yang mengungguli ‘carta’ kaunter untung pada pagi ini.
Rakuten Trade Research menjangkakan FBM KLCI akan terus menunjukkan trend peningkatan, disuntik oleh pengumuman tersebut.
“Bagi bursa tempatan, kami menjangkakan FBM KLCI akan mengalami peningkatan lagi hari ini, terutamanya didorong oleh dagangan semula kedua-dua Digi dan Axiata, selepas pengumuman cadangan penggabungan dalam perniagaan mudah alih mereka.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu berpotensi untuk mencecah paras 1,610 hari ini, ditambah minat terhadap saham-saham sarung tangan yang masih ada," kata Rakutan Trade dalam nota kajiannya.
Baca : Celcom dan Digi sah bakal bergabung jadi telco terbesar Malaysia
Sementara itu, di peringkat global, Wall Street mencapai satu lagi prestasi kukuh memandangkan para pelabur yakin bahawa ekonomi Amerika Syarikat (AS) berada di landasan pemulihan tepat.
Jelas firma penyelidikan tu, kenyataan positif daripada pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell menyuntikkan lagi aktiviti pembelian apabila Dow Jones Industrial Average meraih 57 mata untuk ditutup melebihi paras 33,500.
Nasdaq pula melonjak 140 mata ketika kadar hasil perbendaharaan menyusut.
“Oleh itu, kami percaya pasaran serantau akan meneruskan trend meningkat mereka dengan perhatian tertumpu kepada ketegangan antara China dan AS di Laut China Selatan,” kata Rakuten Trade. - DagangNews.com