Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 April - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research melihat DiGi.com Berhad berada dalam kedudukan ‘menang besar’ jika usaha penggabungan dengan anak syarikat Axiata Group Berhad, Celcom Axiata Berhad berhasil.
Dalam pengiraan firma penyelidikan itu, nilai hutang baharu sebanyak RM1.7 bilion dan pangkalan saham yang lebih besar bakal menyaksikan perolehan sesaham (EPS) utama Digi bagi tahun kewangan 2022 (FY22) mungkin meningkat sebanyak 7.4%.
“Kami melihat peluang kesepakatan yang lebih baik (pemangkin utama untuk penilaian semula) pada kali ini memandangkan ia merupakan penggabungan lebih mudah, kedua-dua pihak dapat belajar dari masa lalu, elak daripada melakukan kesilapan dan kini terdapat keperluan yang lebih besar untuk bergabung memandangkan adanya rancangan rangkaian borong 5G tunggal kerajaan,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya.
Firma penyelidikan itu menyemak naik nilai saham Digi daripada ‘pegang’ kepada ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM4.55.
Saranan sama turut dinilai ke atas saham Axiata dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM4.20.
Semalam, syarikat induk Digi, Telenor Asia (Telenor) dan Axiata mengumumkan bahawa kedua-duanya dalam perbincangan lanjut untuk menggabungkan dua telco terbesar Malaysia itu untuk membentuk sebuah entiti dinamakan Celcom Digi Berhad.
Menerusi pemegangan kepentingan, masing-masing 33.1%, keputusan transaksi penggabungan itu dijangka dimuktamadkan menjelang suku kedua tahun ini (2Q21).
Baca : Celcom dan Digi sah bakal bergabung jadi telco terbesar Malaysia
Walaupun penstrukturan entiti penggabungan itu belum lagi diputuskan, penganalisis di Kenanga Research, Lim Khai Xhiang percaya cadangan tersebut didorong oleh beberapa faktor.
Ini termasuk persaingan yang semakin sengit dalam ruang mudah alih negara selain perkongsian pengetahuan dan penjimatan kos strategik untuk membuka jalan menuju masa depan yang lebih mampan.
Sekiranya penggabungan itu dimuktamadkan, Khai Xhiang percaya dengan kurangnya satu pesaing telco, ini membolehkan pemain industri untuk bersaing lebih baik dalam cara yang lebih mampan menerusi kecekapan kos yang ditingkatkan.
“...Kami positif ada kemungkinan kesepakatan itu (penggabungan Digi dan Celcom) berjaya,” katanya dalam sebuah nota kajiannya hari ini.
Sebelum ini, kedua-dua telco itu dikatakan mempunyai hasrat sama pada tahun 2019, namun langkah untuk bergabung kali ini menawarkan insentif yang lebih hebat buat Digi dan Celcom.
“Dengan tiada panduan jelas terhadap pemilikan spektrum sekiranya mereka bergabung, kami percaya kedua-dua entiti akan memilih untuk memiliki spektrum masing-masing dengan sasaran untuk bersama-sama menambah baik berbanding bersaing sesama sendiri dalam rangkaian 4G,” kata Khai Xhiang lagi.
Mengulas mengenai kerjasama sedia ada antara Axiata dan Maxis, Khai Xhiang berkata : “Sebarang kerjasama dengan Maxis ditangguh dahulu ketika ini, menurut pengurusan Axiata.”
Baca : Digi-Axiata dorong KLCI 'lompat' lebih 12 mata
Kenanga positif terhadap cadangan penggabungan itu dengan meletakkan penarafan neutral ke atas sektor telekomunikasi Malaysia sementara menunggu keputusan cadangan tersebut dan memandangkan maklumat buat masa ini terlalu awal untuk firma itu mencatatkan senario yang realistik.
Setakat 10.48 pagi, nilai saham Axiata dan Digi masing-masing meningkat 31 sen kepada RM4.11 dan 53 sen kepada RM4.28. - DagangNews.com