Digi naik taraf altHR mengikut keperluan perniagaan semasa | DagangNews Skip to main content

Digi naik taraf altHR mengikut keperluan perniagaan semasa

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Jun – Digi Telecommunications Sdn. Bhd. (Digi) memperkenalkan solusi pengurusan tenaga kerja digital, aplikasi altHR yang telah dinaik taraf dan kini merangkumi 20 modul untuk melengkapkan pelbagai keperluan perniagaan.

 

Dalam masa sama, syarikat telekomunikasi itu turut melancarkan HR Starter Kit bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro membuat anjakan digital bagi komponen sumber manusia (HR) dalam perniagaan masing-masing.

 

Ketua Digi-X, Lee Kathryn berkata, pandemik COVID-19 yang masih lagi berterusan telah menggiatkan proses digitalisasi terhadap banyak perniagaan.

 

“Dengan penguatkuasaan pelbagai bentuk perintah kawalan pergerakan, pekerjaan jarak jauh telah menjadi norma hari ini, dan mungkin menjadi norma hari esok.

 

“HR memainkan peranan yang penting ketika ini dan pendigitalan prosesnya dapat membantu PKS beroperasi dengan lebih efisien ketika mereka cuba menangani cabaran-cabaran lain yang disebabkan oleh landskap ekonomi semasa.

 

“Menerusi pelbagai modul yang ditawarkan dalam altHR, perusahaan dapat memanfaatkannya untuk menggalakkan keterlibatan kakitangan, selain memastikan mereka kekal terhubung dan produktif sepanjang tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ciri-ciri baharu itu dan “HR Starter Kit” telah dilancarkan dalam satu majlis maya bertajuk altHR - Future-Proofing Workplaces For Tomorrow, yang diadakan hari ini.

 

Diperkenalkan buat pertama kali pada tahun lalu, altHR menampilkan pelbagai fungsi yang dirumus bersesuaian persekitaran semasa seperti pengurusan ‘cuti tanpa kertas’ dan perbelanjaan, kit jualan digital, penjejakan masa tanpa sentuh serta penyerapan kakitangan.

 

Tahun ini, Digi memperkenalkan fungsi-fungsi utama seperti pembayaran gaji (payroll), penugasan (rostering), pengurusan prestasi (performance management) dan 'Ultimate HR Starter Kit for 2021', iaitu sebuah buku panduan yang bertujuan membantu pengusaha perniagaan melahirkan kakitangan celik digital.

 

altHR merupakan idea yang dikonsepkan oleh Digi dan terbentuk melalui usaha syarikat untuk mewujudkan solusi HR terbaik bagi memenuhi corak operasi mereka. - DagangNews.com