Dilaporkan bakal raih kontrak FPSO Agogo, AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Yinson | DagangNews Skip to main content

Dilaporkan bakal raih kontrak FPSO Agogo, AmInvestment kekal saranan 'beli' terhadap Yinson

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Sept - AmInvestment Bank Research menyifatkan kontrak sewaan bagi kemudahan terapung, penyimpanan dan muatan (FPSO) untuk projek Eni laut dalam Agogo pada suku akan datang yang bakal dimenangi Yinson Holdings Bhd. adalah positif kepada prospek kumpulan.  

 

Upstream Online baru-baru ini melaporkan Yinson mendahului syarikat minyak dan gas (O&G) lain untuk memperoleh kontrak FPSO yang sudah lama ditunggu-tunggu bagi projek Eni laut dalam Agogo melibatkan 1 bilion tong selepas mendahului Bumi Armada Bhd. dan Saipem Itali dengan tawaran komersial dan cadangan teknikalnya.

 

Selain itu, sumber industri juga mendedahkan bahawa Eni dijangka menandatangani surat niat dengan Yinson tidak lama lagi, dan akan memuktamadkan kontrak komersial akhir tahun ini. 

 

Menurut AmInvestment, laporan itu dilihat selaras dengan panduan awal pengurusan mengenai anugerah kontrak akhirnya pada separuh kedua 2022.

 

Sehubungan itu, ia menyifatkan perolehan kontrak itu adalah tepat pada masanya bagi membolehkan Yinson menggunakan semula pasukan projeknya dengan cepat yang sebelum ini mengusahakan penukaran Anna Nery FPSO dengan memuktamadkan kontrak tersebut. 

 

Katanya, Anna Nery sebelum ini belayar dari limbungan Cosco Qidong di China pada awal Julai 2022 dan dijadualkan tiba di Brazil pada Oktober untuk menjalani ujian pentauliahan dan penerimaan akhir.

 

"Dengan mengandaikan Yinson memperoleh kontrak itu secara rasmi pada akhir 2022, kami menganggarkan penukaran kapal akan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 bulan, dengan FPSO memulakan operasi pada separuh kedua 2025.

 

"Secara keseluruhannya, kami positif dengan perkembangan ini kerana ia mencerminkan langkah pengembangan kumpulan yang konsisten semakin membuahkan hasil, disokong oleh prospek FPSO yang teguh," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Unit FPSO baharu itu dijangka dilengkapi dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 120,000 tong minyak sehari dan juga kapasiti penyimpanan 1.6 juta tong.

 

Dari segi kos projek, disebabkan kekurangan butiran mengenai pembayaran modal pendahuluan daripada Eni, pengurusan membayangkan sebelum ini bahawa projek Agogo berkemungkinan akan melibatkan perbelanjaan modal (capex) sekitar AS$1 hingga AS$1.5 bilion.

 

Berdasarkan anggaran AmInvestment membabitkan capex RM1.5 bilion, kadar sewaan harian sebanyak AS$600,000 dengan 20 tahun tempoh kontrak, margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) 65% dan kadar pulangan dalaman (IRR) projek sebanyak 15%, perolehan kontrak Agogo itu sepatutnya akan meningkatkan SOP Yinson dengan tambahan 21% atau 77 sen sesaham. 

 

Firma itu berpendapat, pasaran pembekal FPSO semakin berkembang pesat memandangkan kumpulan pemain global semasa yang terhad setelah terjejas dengan kitaran penurunan harga minyak sejak 2014, disokong perancangan projek yang kukuh bagi pelbagai anugerah projek pada suku akan datang.

 

"Oleh itu, bagi kami, sekiranya Yinson gagal meraih projek Agogo, prospek industri ini masih kekal cerah.

 

"Meskipun masih dalam penilaian, semakan semula strategik kumpulan untuk menyenaraikan perniagaan FPSO di Oslo boleh menambah nilai kepada pendapatan berulang yang stabil dan menyediakan dana tambahan untuk pelaburan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau sekali gus mengukuhkan lagi kelayakan ESG syarikat yang kukuh," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Yinson dengan nilai wajar tidak berubah pada RM3.61 sesaham.

 

Setakat 11.27 pagi, harga sahamnya menokok 2 sen atau 0.88% kepada RM2.29 dengan 1.7 juta saham diniagakan. - DagangNews.com