BARU-BARU ini, Menteri Besar Perak membuat kenyataan mengenai beberapa kemalangan di tapak kuari batu kapur sejak beberapa tahun kebelakangan, yang melibatkan kehilangan nyawa.
Artikel tersebut melaporkan bahawa rangka kerja pengawalseliaan operasi kuari oleh Kerajaan Negeri sudah pun mengambil kira keutamaan pematuhan dan keselamatan aktiviti perlombongan.
Tanpa memperkecilkan risiko kemalangan di tapak kuari, kemalangan di tempat kerja juga berlaku dalam pelbagai industri, dan secara umumnya, kita perlu mengambil langkah proaktif bagi mencegah apa juga kemalangan industri.
Keselamatan di tempat kerja harus diutamakan, dikawal selia dan dipatuhi dalam semua industri. Sebagai pekerja, saya berpuas hati apabila membaca bahawa kerajaan mengambil berat dan memberi perhatian kepada aspek keselamatan di tempat kerja. Menggalakkan operasi yang selamat dan mampan boleh memupuk budaya pematuhan dan bertanggungjawab.
Dalam konteks kuari, Kerajaan Negeri Perak telah memberi jaminan isu keselamatan bagi aktiviti kuari kawasan batu kapur dikawal selia dengan ketat.
Kecewa
Walaubagaimanapun, saya amat kecewa kerana saya rasakan kerajaan negeri Perak tidak langsung memandang serius isu kemalangan yang berulang kali ditimbulkan, berkaitan struktur batu kapur tropika, yang tidak melibatkan aktiviti kuari.
Saya telah membaca beberapa laporan media mengenai runtuhan struktur batu kapur tropika. Yang paling teruk ialah tragedi Gunung Cheroh pada tahun 1973, yang mengorbankan 40 nyawa.
Kemalangan yang serupa telah berulang pada tahun 2008 di Keramat Pulai yang melibatkan kehilangan nyawa seorang individu. Tidak dilupakan, satu lagi peristiwa malang di mana runtuhan struktur batu kapur meragut nyawa dua pelancong di The Banjaran Hotsprings Retreat pada tahun 2020.
Sehingga kini terdapat lebih kurang 20 tragedi runtuhan tebing batu kapur di Perak. Mengapa kita tidak melihat sebarang wacana mengenai kemalangan tersebut? Apakah tindakan kerajaan negeri untuk menghindar sesetengah pihak mengambil risiko mendiami kawasan landskap yang berisiko tinggi?
Saya amat berharap kejadian sebegini tidak dilupakan sebegitu sahaja dan menggesa pihak Kerajaan Negeri untuk memahami risiko kawasan landskap batu kapur yang sepatutnya tidak sesuai sebagai kawasan kediaman.
Dalam sebuah artikel pada Oktober lalu, sempena memperingati ulang tahun ke-50 bencana Gunung Cheroh, penulis menekankan risiko menetap berhampiran bukit batu kapur, kerana ramai yang masih tidak mengetahui tentang risiko yang berkemungkinan timbul pada landskap tersebut, di mana tahap pergerakan tebingnya tidak dapat diramal dengan tepat.
Malah pergerakan kecil sahaja mampu mengakibatkan keruntuhan tebing berkenaan. Saya juga amat terkejut membaca tentang kuil Buddha yang enggan berpindah dari kawasan bukan hak milik mereka di Gunung Kanthan Perak seolah tidak mahu menerima hakikat tentang ancaman runtuhan tebing batu kapur tersebut. Malah mereka memilih menggunakan sentimen keagamaan untuk terus menduduki kawasan yang bukan milik mereka.
Saya tertanya-tanya bagaimana setinggan dan operasi haram seperti ini boleh dibiarkan oleh Kerajaan Negeri untuk menjalankan aktiviti dengan sesuka hati di kawasan tersebut, walaupun berhadapan dengan risiko bencana serta kehilangan nyawa. Siapakah yang seharusnya dipertanggungjawabkan apabila berlaku sebarang tragedi?
Berdasarkan pelbagai laporan media, formasi dan landskap batu kapur tidak stabil terutamanya dalam cuaca tropika seperti di Malaysia. Batu kapur mudah menjadi lebih rapuh akibat aliran air melalui rekahan strukturnya. Kejadian semulajadi ini akan mengakibatkan retakan dan juga menjadi punca berlakunya ‘rockslide’.
Di sebalik sejarah kesemua kejadian tragis yang disebut di atas, saya kecewa kerana kerajaan Perak hanya mengambil langkah mewujudkan jawatankuasa walaupun kini sudah 50 tahun berlalu, semenjak peristiwa di Gunung Cheroh!
Malah penubuhan jawatankuasa yang disebutkan itu berpunca dari isu keagamaan yang ditimbulkan oleh kuil Buddha yang telah dibina secara haram di kawasan berkenaan.
Saya berpendapat, masyarakat perlu meuar-uarkan tentang risiko batu kapur dan memberi tekanan kepada kerajaan negeri supaya tidak melengah-lengahkan tindakan menghalang kuil haram tersebut menjalankan aktiviti di kawasan berkenaan.
Saya amat berharap pihak kerajaan negeri Perak akan memandang serius risiko struktur bukit batu kapur dan mengambil langkah segera menghindar sebarang penempatan di persekitarannya, supaya sejarah kehilangan nyawa tidak berulang lagi. - DagangNews.com
Anita Ali
Kuala Lumpur