DIO jadi jendela tunggal tarik pelaburan pendigitalan berkualiti | DagangNews Skip to main content

DIO jadi jendela tunggal tarik pelaburan pendigitalan berkualiti

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed

 

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Pelancaran platform dalam talian rasmi, Pejabat Pelaburan Digital (DIO) memainkan peranan penting dalam usaha menarik pelaburan berkualiti terutama berkaitan pendigitalan ke negara ini.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, DIO akan bertindak sebagai jendela tunggal untuk menyelaras dan melancarkan semua pelaburan digital asing dan domestik dalam negara.

 

Katanya, aspek itu termasuklah minat pelaburan digital yang dicapai semua agensi penggalakan pelaburan lain di Malaysia.

 

"Sehubungan itu, semua pelabur terutama pelabur asing digesa supaya terus memanfaatkan kelebihan Malaysia dalam usaha pengembangan operasi mereka di Asia," katanya seperti dilapor Bernama

 

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena pelancaran platform dalam talian rasmi DIO secara maya hari ini.

 

Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini meluluskan penubuhan DIO yang akan berperanan penting dalam menarik pelaburan digital.

 

DIO merupakan kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MEDC).

 

Menurut Mustapa, DIO meliputi empat bidang utama iaitu, penyelarasan, penilaian, pemudahan dan sokongan dasar.

 

“Fungsi utama DIO adalah menilai minat pelaburan digital serta memberi saranan nilai yang sesuai kepada pelabur. 

 

"Selain itu, DIO turut menyokong pemudahan pelaburan menyeluruh seperti proses sebelum dan selepas kelulusan, termasuk pemudahan bagi ekspatriat dan bakat digital,” katanya.

 

Jelasnya, penubuhan DIO seiring dengan usaha menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia di bawah inisiatif MyDigital yang dilancarkan pada Februari 2021, dengan matlamat khusus memperoleh pelaburan bernilai RM70 bilion menjelang 2025 selain melonjakkan sumbangan ekonomi digital kepada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara daripada 19.1% kepada 22.6%.

 

Beliau berkata, platform dalam talian DIO baharu ini akan menyediakan pendekatan cekap dalam mempertimbangkan cadangan pelaburan untuk pelabur, dan dengan proses permohonan terlaras, ia juga akan membolehkan pelabur mendapat maklum balas pantas daripada pegawai yang bertanggungjawab di DIO.

 

“Sebelum ini, pelabur perlu menggunakan banyak saluran, termasuk menerusi agensi penggalakan pelaburan lain, yang kerap kali menimbulkan kekeliruan dan potensi kehilangan minat pelaburan digital.

 

“Kerajaan dan agensi seperti MIDA dan MDEC menyedari mengenai keperluan untuk bertindak pantas. 

 

"Kami akan terus giat berusaha untuk memastikan kami dapat mengekalkan serta mempertingkatkan aliran masuk pelaburan digital berkualiti yang besar dan stabil,” katanya. - DagangNews.com