Disekat AS, tidak gugat prospek SD Plantation - MIDF | DagangNews Skip to main content

Disekat AS, tidak gugat prospek SD Plantation - MIDF

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 21 Mei - Sekatan import yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap minyak sawit Sime Darby Plantation Berhad (SD Plantation) susulan dakwaan penggunaan buruh paksa, tidak menggugat daya tahan syarikat perladangan itu. 

 

Malah, MIDF Research percaya prospek kumpulan kekal kukuh disokong oleh beberapa inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan melalui pendigitalan, automasi dan mekanisasi. 

 

"Harga minyak sawit mentah yang tinggi juga akan terus menyokong pertumbuhan kumpulan pada masa hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha memaklumkan, SD Plantation telah melantik penilai pihak ketiga untuk menjalankan penilaian komprehensif ke atas semua operasi di Malaysia, yang dijangka lengkap pada Jun.

 

Pada 30 Disember lalu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas produknya berdasarkan maklumat bahawa secara munasabah menunjukkan kehadiran kesemua 11 petunjuk buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa dalam proses pengeluaran SD Plantation.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021, untung bersih SD Plantation melonjak 20% kepada RM562 juta berbanding RM468 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Perolehan syarikat bagi tempoh itu turut meningkat 21% kepada RM3.67 bilion daripada RM3.04 bilion. 

 

Prestasi lebih baik didorong oleh harga minyak sawit mentah yang tinggi, pengeluaran tandan buah segar dan segmen hiliran yang positif.

 

Segmen hiliran kumpulan mencatat prestasi positif menerusi operasi di rantau Asia Pasifik. Bagaimanapun, kilang penapisan di rantau Eropah dan Afrika menunjukkan prestasi yang lemah ekoran perintah sekatan disebabkan pandemik COVID-19 menyebabkan jumlah jualan yang rendah.

 

Untuk segmen huluan pula, keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) meningkat sebanyak RM543 juta berbanding RM288 juta suku sama tahun sebelumnya, berikutan harga minyak sawit mentah dan isirung sawit  yang tinggi serta peningkatan pengeluaran tandan buah segar.

 

Bagaimanapun, MIDF Research berpendapat, pengeluaran tandan buah segar mungkin memberi kesan kepada kumpulan dengan mengambil kira kekurangan tenaga buruh yang mana akan menjejaskan aktiviti pendebungaan.

 

"Untuk segmen hiliran pula, kami jangkakan ia terus mencatat prestasi lebih baik berikutan prestasi perniagaan pukal yang kukuh terutama menerusi operasi di Eropah," tambahnya.

 

Dengan mengambil kira semua faktor itu, firma berkenaan menaik taraf saranan kepada 'beli' berbanding neutral sebelum ini. 

 

MIDF Research juga menyemak naik harga sasaran kepada RM5.34 sesaham berbanding RM5.29. 

 

"Kami juga menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 masing-masing dengan meningkat 64.1% dan 12.6% kepada RM1.31 bilion dan RM1.02 bilion berbanding sebelum ini, RM798.9 juta (2021) dan RM907.5 juta (2022).

 

"Unjuran ini dibuat dengan mengambil kira prestasi kewangan segmen huluan yang lebih baik," katanya. - DagangNews.com