KUALA LUMPUR 17 Jan - Syarikat pembuatan dron awam dan teknologi kamera kreatif, DJI membuka cawangan gedung pengalaman premium dan pusat servis baharu yang kedua di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya.
Selepas pelancaran gedung DJI pertama di Pavilion Kuala Lumpur, pusat sehenti ini menawarkan kepada pelanggan pengalaman menikmati kemudahan dan perkhidmatan DJI secara menyeluruh di bawah satu bumbung.
Kemudahan seluas 543 kaki persegi ini ialah pusat servis DJI pertama yang turut menyediakan perkhidmatan lepas jualan bagi pelanggan yang boleh membawa peranti DJI mereka untuk mendapatkan khidmat penyenggaraan, pembaikan atau penggantian alat.
Dengan rangkaian dron kamera yang luas termasuk DJI Mavic series, Air series, Mini series dan DJI FPV, pelanggan boleh mencuba peralatan pemenang anugerah yang disediakan dengan tunjuk ajar pakar-pakar DJI melakukan demonstrasi asas serta memberi panduan dan maklumat produk.
Pengurus Besar Azure Telecommunication Sdn. Bhd., Johnny Liao berkata, pihaknya bersedia berkongsi ilmu penting dengan pelanggan dalam bidang fotografi dan operasi dron dan bertekad membekalkan peralatan paling sesuai untuk memenuhi setiap keperluan mereka.
“Pembukaan ini membuktikan usaha berterusan untuk mengukuhkan kedudukan kami di Malaysia. Walaupun matlamat kami ialah menjadikan produk pemenang anugerah DJI jauh lebih mudah didapati, kami mahu memberikan ketenangan fikiran kepada peminat dan pelanggan yang tegar dengan menyediakan perkhidmatan lepas jualan menyeluruh kepada mereka.
"Menyedari tahap permintaan bagi inovasi kami, DJI komited melengkapkan pengguna dengan ilmu penting bagi memastikan fungsi teras dron kami dimaksimumkan, sama ada untuk hobi atau tujuan misi penyelamat.
"Kami akan terus mempelopori inovasi bagi membekalkan produk bermutu tinggi dan menyediakan perkhidmatan cemerlang untuk menjamin kepuasan pelanggan sambil mengukuhkan kedudukan kami sebagai jenama dron awam dan fotografi udara paling laris di negara ini," katanya dalam kenyataan.
Bermula 10 Januari hingga 28 Februari, kempen servis menawarkan perkhidmatan pemeriksaan produk dan kemas kini perisian peralatan percuma, diskaun 10% bagi penggantian bateri dan potongan 50% bagi kipas gantian bagi model-model terpilih. - DagangNews.com