DKSH dilantik pengedar rasmi vaksin CanSino di Malaysia | DagangNews Skip to main content

DKSH dilantik pengedar rasmi vaksin CanSino di Malaysia

DKSH Malaysia akan menyimpan dan mengedarkan vaksin CanSino ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV). - Gambar hiasan oleh Mufid Majnun

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Penyedia perkhidmatan terkemuka bagi syarikat yang ingin mengembangkan perniagaan mereka di dalam dan luar Asia, DKSH Holdings (Malaysia) Berhad telah dilantik oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai pengedar rasmi vaksin keluaran CanSino di seluruh negara.

 

Berdasarkan perjanjian kontrak, DKSH Malaysia akan menyimpan dan mengedarkan vaksin CanSino ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berlokasi di Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia yang ditetapkan oleh KKM.

 

Naib Presiden, Unit Perniagaan Penjagaan Kesihatan, DKSH Malaysia, Gary Chee berkata, selama hampir satu abad sekarang, DKSH merupakan rakan kongsi yang penting dalam sejarah penjagaan kesihatan Malaysia. 

 

“Selama bertahun-tahun, kami telah menyokong penjagaan kesihatan awam dan swasta dalam beberapa projek vaksin. 

 

“Kami menjaga kualiti dan keselamatan produk diletak bawah jagaan kami mengikuti standard tinggi and prosedur yang ketat. 

 

“Dengan kecekapan pengedaran kami yang telah terbukti di Semenanjung dan Timur Malaysia, kami amat yakin bahawa dapat menyediakan perkhidmatan rantai sejuk yang dipercayai, berkualiti, dan selamat untuk penghantaran vaksin CanSino yang penting dan mendesak ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Vaksin CanSino tersebut akan disimpan di pusat pengedaran penjagaan kesihatan DKSH Malaysia di Shah Alam yang diakui oleh standard ISO. 

 

Pusat pengedaran tersebut juga mempunyai fasiliti rantai sejuk yang sesuai untuk menyimpan vaksin dan ubat-ubatan yang memerlukan kawalan suhu sensitif.

 

Sebagai penyedia Perkhidmatan Pengembangan Pasaran, DKSH Malaysia menawarkan sumber, pandangan pasaran, pemasaran dan penjualan, e-perdagangan, pengedaran dan logistik serta perkhidmatan purna jual. 

 

DKSH beroperasi di 36 pasaran dengan 32,450 pakar, menghasilkan penjualan bersih sebanyak CHF10.7 bilion atau sekitar RM49.31 bilion pada tahun 2020. - DagangNews.com