DNB, telco masih runding pelaksanaan 5G | DagangNews Skip to main content

DNB, telco masih runding pelaksanaan 5G

KUALA LUMPUR 14 Nov - Digital Nasional Bhd (DNB) menjelaskan bahawa perbincangan sudah dan sedang berlangsung dengan syarikat telekomunikasi berhubung pelancaran 5G negara, di bawah pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

Menurut DNB dalam satu kenyataan, maklum balas telco, terutama kesediaan mereka diambil kira dalam rancangan pelancaran rangkaian 5G di seluruh negara.

 

Penyedia tunggal perkhidmatan borong 5G negara itu menyatakan bahawa syarikat telah memasukkan maklum balas daripada syarikat telekomunikasi mengenai bidang utama berkaitan reka bentuk dan pelaksanaan Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G.

 

"Ini adalah proses berterusan antara DNB, telco dan pengawal selia kami (MCMC) dengan kumpulan kerja fokus berbeza untuk trek komersial, teknologi dan keselamatan siber.

 

"Selain itu, rangkaian 5G DNB mematuhi keperluan 3GPP, yang menetapkan standard untuk rangkaian 5G di seluruh dunia," kata syarikat itu, lapor Bernama.

 

Sementara itu, dari segi keselamatan, DNB menggunakan pendekatan inisiatif strategik dalam reka bentuk, perancangan, pelaksanaan dan operasi.

 

BERITA BERKAITAN: BELUM ADA TELKO SETUJU GUNA 5G: SOAL HARGA JADI ISU BESAR

 

Kenyataan itu bagi menjelaskan dakwaan yang dilaporkan dalam media tempatan, memetik sumber industri, bahawa tiada syarikat telekomunikasi sudah menandatangani sebarang perjanjian dengan DNB untuk akses borong 5G kerana syarikat itu masih belum memenuhi semua keperluan teknikal dan keselamatan yang diminta oleh syarikat telekomunikasi.

 

DNB juga menjelaskan bahawa draf Tawaran Akses Rujukan (RAO) untuk perkhidmatan borong 5G sudah dikemukakan kepada MCMC dan syarikat telekomunikasi September lalu bagi membolehkan mereka berinteraksi dengan DNB dan memberikan maklum balas.

 

RAO adalah syarat komersial dan bukan komersial standard bagi perkhidmatan borong 5G akan disediakan secara telus dan tanpa diskriminasi kepada mana-mana entiti berlesen yang memerlukan akses kepada perkhidmatan 5G.

 

Menurut kenyataan itu, RAO akan menjadi asas bagi DNB untuk memeterai perjanjian komersial yang muktamad dan DNB menjangka dapat memuktamadkan RAOnya pada akhir November selepas kelulusan MCMC.

 

"Selepas ini, DNB akan dapat memuktamadkan rundingan komersial dengan syarikat telekomunikasi. DNB sudah memberikan penerangan perkhidmatan yang jelas kepada industri mengenai penyediaan akses borong untuk jalur lebar mudah alih untuk 5G, juga dikenali sebagai Jalur Lebar Mudah Alih Dipertingkat (eMBB)," katanya.

 

Ini adalah perkhidmatan borong utama yang pertama akan ditawarkan DNB kepada syarikat telekomunikasi.

 

Ia tersedia mulai Disember 2021, manakala penerangan perkhidmatan eMBB yang komprehensif adalah sebahagian daripada dokumen RAO, yang dikongsi dengan industri pada September lalu.

 

DNB mengulangi ia komited untuk memastikan harga borong 5G mampu milik. - DagangNews.com