DNB, TM dan ZTE jalin kerjasama strategik perkenal ujian 5G terpantas di dunia | DagangNews Skip to main content

DNB, TM dan ZTE jalin kerjasama strategik perkenal ujian 5G terpantas di dunia

KUALA LUMPUR 18 Okt - Digital Nasional Berhad (DNB), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan ZTE (Malaysia) Corporation Sdn Bhd membentuk gabungan untuk memperkenalkan ujian kepantasan 5G di dunia dengan kelajuan sehingga 26 gigbait sesaat (Gbps) dan menstruktur semula landskap digital negara.

 

Kerjasama itu akan menggunakan infrastruktur rangkaian dan kepakaran digital TM serta teknologi antena canggiih frekuensi gelombang milimeter (mmWave) dan teknologi chipset inovatif daripada ZTE.

 

Kemudahan itu memberikan teras 5G khusus Standalone (SA) pertama di Malaysia, dilengkapi dengan rangkaian pengangkutan generasi seterusnya yang boleh disesuaikan.

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh ketiga-tiga syarikat itu, hari ini, kerjasama strategik ini bertujuan untuk menggalakkan produktiviti dan kecekapan operasi, meningkatkan kepuasan pelanggan dan menjana permintaan yang lebih tinggi merentasi semua sektor.

 

Ia juga akan meningkatkan hubungan Akses Tanpa wayar Tetap (FWA) yang pantas bagi menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi, penstriman video, permainan dalam talian tanpa lag dan aplikasi realiti maya.


"Petanda penting ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pelopor dalam teknologi mmWave, meningkatkan industri pendigitalan dan membawa pengalaman pelanggan ke tahap yang belum pernah terjadi sebelumnya," menurut kenyataan itu.

 

Ketua Pegawai Teknologi (CTO) DNB, Ken Tan Tzi Kieng; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris dan Pengarah Urusan ZTE, Steven Ge masing-masing menzahirkan kegembiraan menjadi sebahagian dalam usaha kerjasama ini.

 

"Penggunaan spektrum mmWave dalam rangkaian borong 5G DNB, yang digabungkan dengan teras SA TM membuka peluang menarik dalam ruang korporat, terutamanya dalam mengatur rangkaian peribadi 5G," kata Tzi Kieng.

 

"Teras 5G SA dan infrastruktur rangkaian TM yang terkini akan menetapkan garis panduan baharu dalam kelajuan dan kebolehpercayaan kesalinghubungan, mendorong batasan pendigitalan membolehkan pengalaman pengguna yang lebih baik, mengukuhkan pertumbuhan industri baharu dan memacu ekosistem inovasi negara yang akan menjadikan Malaysia sebagai negara pendigitalan," kata Amar Huzaimi.

 

"Kami percaya inisiatif ini akan membuka jalan untuk kemungkinan baharu dalam industri telekomunikasi. Kerjasama bersejarah ini mengukuhkan komitmen teguh ZTE untuk mendorong batasan teknologi dan mendorong inovasi dalam industri telekomunikasi," kata Ge.

 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, yang hadir semasa pelancaran kerjasama di Multimedia University, dipetik sebagai berkata kerjasama ini mengesahkan komitmen Malaysia untuk memajukan teknologi dan mendorong negara ke era baharau kesalinghubungan, lapor Bernama.

 

"Ini menegaskan keazaman kami untuk menjadi pemimpin dalam kemajuan teknologi di persada global," katanya. - DagangNews.com