KUALA LUMPUR 29 Ogos - Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) mempamerkan prestasi cemerlang bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 dengan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM707.3 juta manakala pendapatan berjumlah RM1.44 bilion.
Segmen teknologi menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan pada tempoh berkenaan RM857.7 juta (merangkumi 60% daripada pendapatan) diikuti segmen tenaga melalui Ping Petroleum Limited (RM379.6 juta) dan segmen teknologi maklumat (RM199.9 juta).
Bagaimanapun, tiada angka perbandingan tahun ke tahun disebabkan perubahan pada akhir tahun kewangan dari 31 Disember kepada 30 Jun.
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2022, DNeX mencatatkan PAT sebanyak RM263 juta dengan pendapatan berjumlah RM430.3 juta terutamanya disokong sumbangan daripada segmen perniagaan teknologi dan tenaga.
Berdasarkan perbandingan suku ke suku, PAT suku keempat itu melonjak 238% daripada RM77.8 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 manakala pendapatan meningkat 12% daripada RM382.6 juta.
Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, usaha transformasi di SilTerra telah membawa kepada pemulihan kukuh dalam prestasi kewangan kumpulan, disokong harga purata jualan (ASP) yang lebih tinggi dan peningkatan operasi direkodkan dari segi pengeluaran, kawalan kualiti dan kecekapan pembuatan.
Katanya, dengan memasuki tahun kewangan baharu, SilTerra akan terus mencipta kecemerlangan dalam pembuatan dan inovasi teknologi yang unggul.
"Tiga perjanjian jangka panjang yang diperoleh dengan pelanggan utama akan memenuhi penggunaan kapasiti kepada lebih daripada 70%.
"Usaha pengembangan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan SilTerra sebanyak 10% sedang dilaksanakan dan dijangka siap menjelang separuh pertama 2023.
"Ia juga akan menyaksikan lebih banyak kapasiti akan diperuntukkan kepada teknologi baharu muncul seperti sistem mikroelektromekanikal (MEMS) dan peranti Silicon Photonics, yang menguasai ASP yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, usaha sama dengan Hon Hai Precision Industry Co Ltd (Foxconn) untuk membina kemudahan fabrikasi wafer 12 inci di Malaysia sedang berjalan dengan perbincangan membabitkan pihak berkepentingan termasuk kerajaan. - DagangNews.com