IJN terpilih sebagai lokasi siaran langsung mesyuarat kardiologi terbesar ASEAN | DagangNews Skip to main content

IJN terpilih sebagai lokasi siaran langsung mesyuarat kardiologi terbesar ASEAN

Mesyuarat Intervensi A-Z Vietnam yang dilaksanakan secara langsung di IJN, menghimpunkan pakar-pakar terkemuka dalam penyakit jantung kongenital dari seluruh dunia.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Jan - Pusat Jantung Pediatrik & Kongenital (PCHC) di Institut Jantung Negara (IJN), terpilih sebagai lokasi siaran langsung untuk Mesyuarat Intervensi A-Z Vietnam, yang merupakan satu daripada perhimpunan kardiologi intervensi kongenital terbesar di ASEAN.

 

Acara berprestij itu yang sedang berlangsung di Vietnam dari 15 Januari hingga 17 Januari 2025, mengumpulkan pakar-pakar terkemuka dunia dalam penyakit jantung kongenital, menyediakan platform untuk mempamerkan kepakaran IJN serta keupayaan luar biasa profesional perubatannya. 

 

Siaran langsung tersebut menampilkan prosedur maju yang dijalankan oleh pakar-pakar berpengalaman IJN, memberikan pandangan mengenai Teknik canggih dan inovasi terkini.

 

Beberapa prosedur dilakukan secara langsung pada mesyuarat berkenaan antaranya melibatkan pesakit berusia antara tiga minggu hingga 15 tahun termasuk implan injap pulmonari transkater, prosedur stenting duktus pada bayi baru lahir dengan Anomali Ebstein dan penutupan fistula arteri koronari dengan alat.

 

ijn

 

Prosedur-prosedur itu dilaksanakan oleh pasukan kardiologi pediatrik IJN, diketuai oleh pakarnya, Dr. Marhisham Che Mood, Datuk Dr. Mazeni Alwi dan Dr. Leong Ming Chern.

 

Dr. Marhisham yang turut mengetuai PCHC, melahirkan rasa bangga dengan pemilihan pusat tersebut sebagai lokasi siaran langsung.

 

"Pemilihan PCHC sebagai lokasi untuk mesyuarat penting ini adalah satu penghormatan besar buat IJN dan Malaysia. Ini mencerminkan komitmen kami dalam memajukan penjagaan kardiologi pediatrik dan berkongsi kepakaran kami dengan komuniti perubatan global. 

 

"Di PCHC, komitmen pasukan kami bukan sahaja untuk merawat, tetapi juga untuk menginspirasi kemajuan dalam bidang penyakit jantung kongenital," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Klinikal IJN, Datuk Dr. Shaiful Azmi Yahya berkata, penghargaan itu menekankan kepimpinan IJN dalam bidang kardiologi dan visinya untuk meletakkan Malaysia sebagai hab kesihatan jantung serantau. 

 

"Melalui inisiatif seperti ini, kami bukan sahaja menyumbang kepada kemajuan perubatan global, tetapi juga mengukuhkan peranan IJN sebagai pemain utama dalam Program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana (FMTH) oleh Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC)," ujarnya.

 

Sebagai satu daripada empat hospital dalam program FMTH, IJN berkata, ia terus mengekalkan misinya untuk menyampaikan kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan.

 

Inisiatif siaran langsung itu sejajar dengan matlamat lebih luas IJN dalam memupuk kerjasama, memajukan pengetahuan perubatan dan meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi utama bagi perkhidmatan kesihatan khusus. - DagangNews.com