DNeX raih kontrak kabel dasar laut di Indonesia | DagangNews Skip to main content

DNeX raih kontrak kabel dasar laut di Indonesia

 

 


KUALA LUMPUR 18 Mei - Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) menandatangani perjanjian dengan PT Infrastruktur Telekomunikasi Indonesia (TelkomInfra) untuk membekalkan perkhidmatan sokongan pemasangan dan penyelenggaraan sistem komunikasi kabel dasar laut melalui kapal CS DNeX Pacic Link. 

 

Perjanjian tersebut dimeterai melalui konsortium yang diterajui oleh DNeX ditubuhkan antara unit perniagaan, PT DNeX Telco Indonesia (PT DTI) dan PT Samudera Mbiantu Sesami (PT SMS).

 

Konsortium ini akan memberi perkhidmatan kepada TelkomInfra untuk tempoh selama 3 tahun, dengan pilihan lanjutan 3 tahun lagi.

 

Dalam kenyataan, DNeX berkata, istem komunikasi kabel dasar laut dan perkhidmatan sokongan penyelenggaraan akan diberikan kepada syarikat induk TelkomInfra, PT Telkom Indonesia Tbk, sebuah konglomerat telekomunikasi multinasional Indonesia yang tersenarai di Bursa Saham Indonesia dan mempunyai penyenaraian sekunder di Bursa Saham New York.

 

"Dengan andaian kadar penggunaan kapal sebanyak 65% setahun, anggaran jumlah pendapatan setahun (termasuk caj siap sedia) kira-kira RM62 juta (215 bilion rupiah).
 

“Oleh itu, pendapatan untuk 3 tahun awal kontrak boleh mencecah sehingga RM186 juta dan RM372 juta dengan tambahan pilihan 3 tahun,” katanya.

 

Sehubungan itu, Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menyifatkan, perjanjian itu merupakan pencapaian penting untuk perniagaan kabel dasar laut kumpulan.


 
“Ia dijangka memacu pertumbuhan dan sumbangan segmen tersebut kepada pendapatan kumpulan pada masa depan.

 

“Kontrak baharu itu akan membantu syarikat menjadi penggiat serantau yang utama dalam kerja-kerja pemasangan, penyelenggaraan dan pembaikan kabel dasar laut,” katanya.

 

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur utama oleh syarikat gergasi teknologi antarabangsa, Facebook dan Google, yang termasuk pembinaan 2 kabel dasar laut baharu yang menghubungkan Indonesia dan Amerika Syarikat, akan memberikan peluang pasaran baharu dan menarik untuk perniagaan kabel dasar laut kumpulan. - DagangNews.com