DNeX selesai tingkat pegangan dalam Ping bernilai RM314 juta | DagangNews Skip to main content

DNeX selesai tingkat pegangan dalam Ping bernilai RM314 juta

 

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) telah menyelesaikan langkah pengambilalihan lagi 60 peratus kepentingan dalam Ping Petroleum Limited berbanding sebelum ini hanya 30 peratus.

 

Ini menjadikan Ping, sebagai anak syarikat DNeX Energy Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh DNeX setelah menguasi 90 peratus kepentingan dalam syarikat berkenaan.

 

Sejak DNeX memperoleh kepentingan dalam syarikat minyak dan gas itu pada 2016, Ping secara konsisten menjana kewangan yang positif kepada aliran tunai didorong keupayaannya mengekalkan kos operasi di bawah AS$20 setong.

 

Ping memiliki keseimbangan portfolio dalam pengeluaran dan membangunkan aset minyak dan gas di Anasuria cluster yang terletak di Laut Utara, United Kingdom (UK).

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kumpulan merancang untuk memperluaskan penerokaan Ping dengan menambah nilai beberapa aset brownfield di UK dan rantau Asia Tenggara.

 

Katanya, pelaburan pemain utama industri minyak dan gas kepada peralihan tenaga dan sektor tenaga diperbaharui memberi peluang kepada kumpulan untuk memperoleh beberapa lapangan minyak dan gas pada harga yang menarik.

 

"Kami kini akan memainkan peranan untuk melaksanakan strategi dalam merealisasikan pertumbuhan jangka panjang Ping," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, 2019 dan 2020, Ping secara kumulatif merekodkan untung bersih sebanyak AS$34.7 juta.

 

Dengan penyertaan Ping sebagai anak syarikat berbanding syarikat bersekutu sebelum ini, pendapatan dan hasil yang diperoleh dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan DNeX.

 

Syed Zainal Abidin berharap, Ping dapat memberi sumbangan yang lebih baik di tengah-tengah peningkatan harga minyak dipacu permintaan global apabila ekonomi dibuka semula di beberapa negara.

 

Katanya, kenaikan harga minyak mentah Brent melebihi paras AS$70 setong juga akan meningkatkan segmen tenaga dan memberi peluang kepada kumpulan untuk mengembangkan sektor huluan bagi minyak dan gas.

 

"Dalam usaha meningkatkan pengeluaran di Anasuria, kami memperuntukkan kira-kira AS$71 juta bagi pembangunan semula aktiviti dalam tempoh lima tahun akan datang," tambah beliau.

 

Ping akan diterajui Zainal Abidin Jalil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif manakala Datuk Robert Fisher dilantik sebagai Pengerusi, selepas lengkap pengambilalihan ini.

 

Buat masa ini, Robert merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif manakala Zainal Abidin pula sebagai Pengarah Eksekutif dalam lembaga pengarah DNeX.

 

Pengambilalihan 60 peratus kepentingan itu membabitkan nilai sebanyak AS$78 juta (RM314.3 juta) yang akan dilaksanakan melalui tunai berjumlah AS$40.95 juta (RM165 juta) dan terbitan saham baharu DNeX serta pilihan saham baharu yang boleh ditebus dalam DNeX Energy berjumlah AS$37.05 juta (RM149.3 juta). - DagangNews.com