KUALA LUMPUR 14 Mac - D&O Green Technologies Berhad dijangka mencatat pertumbuhan jualan lampu LED automotif yang lebih perlahan berikutan perang harga dalam pasaran kereta China kian meruncing baru-baru ini.
Public Investment Bank (PublicInvest) berpendapat bahawa pertumbuhan jualan LED itu perlahan memandangkan ia berpendirian lebih konservatif mengenai prospek jualan kereta global susulan perang harga tersebut.
Susulan pertemuan dengan pihak pengurusan kumpulan, firma penyelidikan itu berkata margin D&O Green Technologies terkesan oleh kos operasi yang tinggi secara berterusan dan kenaikan perbelanjaan modal
Selepas mempertimbangkan dua faktor tersebut, PublicInvest memotong unjuran pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-26) sebanyak 19% hingga 24%.
Oleh itu, harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM4.20 sesaham daripada RM4.37 sebelum ini, namun mengekalkan saranan ‘outperform’.
Dari sudut positif, firma itu berkata Kilang 2 bersedia untuk memulakan operasi komersial untuk LED konvensionalnya pada separuh kedua 2024.
“Ia menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti keseluruhannya sebanyak 16% lagi dan memulakan operasi komersial Kilang 2 menjelang separuh kedua 2024. Di bawah pelan pembesaran Fasa 1, Kilang 2 berpotensi menjana pendapatan tahunan sebanyak RM240 juta hingga RM360 juta.
“Memandangkan kecekapan operasi meningkat dengan lebih banyak automasi, pihak pengurusan menjangkakan margin kasar FY24 akan pulih kepada paras tertinggi sebelumnya iaitu 27%.
“Sementara itu, Kilang 3 telah menerima kelulusan penuh, dengan pihak pengurusan dijangka memanggil tender terbuka untuk kerja-kerja pembinaan tidak lama lagi,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut PublicInvest, pengurusan D&O Green Technologies turut berkongsi tinjauannya berhubung rancangan pembangunan produk masa depan, sambil turut menumpukan pada pertumbuhan pendapatan pada pertengahan tahun ini.
Ini disokong oleh lonjakan jualan daripada i) LED RGB pintar dan lampu unjuran baharu, ii) aplikasi LED lampu kepala dan iii) LED SpicePlus 2520 untuk Lampu Gabungan Belakang (RCL).
Setakat pukul 10:30 pagi ini, saham D&O Green Technologies telah menokok 4 sen atau 1.4% kepada RM3.10 dengan permodalan pasarannya sebanyak RM3.8 bilion. - DagangNews.com