D&O Green Technologies dijangka kembali kukuh pada separuh kedua 2023 disokong pemulihan jualan LED automotif – PublicInvest | DagangNews Skip to main content

D&O Green Technologies dijangka kembali kukuh pada separuh kedua 2023 disokong pemulihan jualan LED automotif – PublicInvest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - D&O Green Technologies Berhad dijangka kembali kukuh pada separuh kedua tahun ini berikutan jualan dan margin LED automotif beransur pulih, diterajui oleh pasaran China yang menyumbang kira-kira 45% hingga 50% kepada pendapatan kumpulan.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata kerajaan China dilaporkan telah menjanjikan lebih banyak langkah rangsangan untuk meningkatkan permintaan kereta dengan melancarkan garis panduan baharu berhubung industri automotif pada Jumaat lalu.

 

“Walaupun bimbang dengan kelembapan permintaan dalam negeri ekoran persaingan harga yang semakin mendalam, pemain kereta China kini sedang berusaha untuk meningkatkan jualan mereka di pasaran luar negara,” kata firma itu dalam nota pneyelidikan hari ini.

 

Selepas melihat penggunaan kapasiti terendah sebanyak 65% pada separuh pertama tahun ini (1H23), firma itu berkata pengurusan D&O Green Technologies menjangkakan volum pemuatan meningkat melebihi 85% pada separuh kedua 2023 (2H23).

 

“Berdasarkan anggaran kasar, kami menjangkakan jualan LED automotif melonjak sekurang-kurangnya 37% dalam 2H berbanding 1H, dengan jualan setahun penuh mencecah RM1 bilion. Sementara itu, margin kasar berpotensi pulih ke paras 23% hingga 25% jika penggunaan kapasiti mencecah melebihi 80%.

 

“Berbeza dengan tahun lepas, jualan suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) dijangka mencapai kemuncak tahun ini. Manakala, tahap inventori juga dijangka berkurangan daripada paras tertinggi enam bulan baru-baru ini kepada paras rendah lima bulan pada suku-suku berikutnya,” tambahnya.

 

Firma itu berkata, jumlah jualan LED pintar disasarkan untuk mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) lebih 200% dari 2023 hingga 2025, di mana pada 2024, ia dijangka mencatatkan pertumbuhan tiga kali ganda.

 

Secara ringkas, PublicInvest berkata, jualan LED pintar dijangka menyumbang kira-kira 5% hingga 6% daripada jualan pada 2023 sebelum mencecah 10% hingga 15% pada 2024 dan 20% pada 2025.

 

Mengenai kemas kini kilang kedua D&O Green Technologies, firma itu berkata ruang lantai (tingkat 1) akan melalui proses i) kelayakan, ii) larian simulasi, iii) ujian kebolehpercayaan dan iv) kelulusan akhir daripada pemain modul dan pelanggan akhir Tier-1, yang disasarkan penggunaan penuh menjelang 2026.

 

PublicInvest mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM4.37 sesaham.

 

Pada pukul 10:50 pagi, saham D&O Green Technologies susut 5 sen atau 1.4% kepada RM3.57 dengan permodalan pasaran bernilai RM4.4 bilion. - DagangNews.com