Penduduk Malaysia kini 33.4 juta, meningkat 2.1% pada suku kedua 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Penduduk Malaysia kini 33.4 juta, meningkat 2.1% pada suku kedua 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan 33.4 juta, meningkat 2.1% pada suku tahun kedua 2023 berbanding 32.7 juta pada suku kedua 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penduduk lelaki meningkat daripada 17 juta kepada 17.5 juta berbanding suku kedua 2022 manakala perempuan meningkat daripada 15.7 juta kepada 15.9 juta bagi tempoh yang sama. 

 

"Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan," katanya dalam laporan Perangkaan Demografi bagi suku kedua 2023.

 

Mengulas lanjut, penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) menurun kepada 7.5 juta pada suku kedua 2023 berbanding 7.6 juta pada suku kedua 2022. 

 

Komposisi penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.8 juta kepada 23.4 juta berbanding suku kedua 2022. Komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.4 juta kepada 2.5 juta bagi tempoh yang sama.

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, jumlah kelahiran hidup merekodkan peningkatan sebanyak 13% kepada 105,961 kelahiran berbanding suku kedua 2022 dengan 93,799 kelahiran. 

 

Katanya, bayi lelaki melebihi perempuan dengan 54,747 kelahiran berbanding 51,214 kelahiran bayi perempuan. 

 

 

dosm

 

 

"Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,477 kelahiran (19.3%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (357 kelahiran: 0.3%).

 

"Umur ibu 30-39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi pada suku kedua 2023 iaitu 53,679 (50.7%), diikuti oleh ibu berumur 20-29 tahun (42.3%), 40 tahun dan lebih (5.2%) dan kurang daripada 20 tahun (1.8%)," katanya.

 

Beliau berkata, etnik Melayu menyumbang 68.4% (72,500 kelahiran hidup) daripada jumlah kelahiran hidup pada suku kedua 2023 berbanding 69.7% pada suku kedua 2022.

 

"Kelahiran hidup bagi Bumiputera lain dan etnik Cina masing-masing meningkat kepada 12.9% dan 9.1% berbanding 12.6% dan 8.9% pada suku kedua 2022. Manakala, etnik India merekodkan penurunan kepada 3.8% pada suku kedua 2023 berbanding 3.9% pada suku kedua 2022," katanya.

 

 

dosm

 

 

Ketua Perangkawan mengulas lanjut, sebanyak 50,239 kematian telah direkodkan pada suku kedua 2023, peningkatan sebanyak 0.7% berbanding suku kedua 2022 (49,893 kematian). 

 

Katanya, bilangan kematian bagi lelaki adalah 28,495 manakala 21,744 kematian bagi perempuan. Pada tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,765 kematian (15.5%) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 73 kematian (0.1%). 

 

"Dari segi umur, bilangan kematian berumur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 35,415 kematian (70.5%), diikuti oleh umur 41-59 tahun (19.6%), umur 15-40 tahun (7.6%) dan umur 0-14 tahun (2.3%).

 

"Etnik Melayu menyumbang 52.9% (26,610 kematian) daripada jumlah kematian pada suku kedua 2023 berbanding 52.7% pada suku kedua 2022. Kematian bagi etnik Cina meningkat kepada 26.2% pada suku kedua 2023 berbanding 25.8% pada suku kedua 2022. 

 

"Bagi Bumiputera lain, jumlah kematian menurun kepada 10.2% berbanding 10.8% pada suku kedua 2022, manakala etnik India kekal pada 8.1%," katanya.

 

Selain itu katanya, kematian disebabkan COVID-19 menurun 74.4% pada suku kedua 2023 iaitu daripada 660 kematian pada suku kedua 2022 kepada 169 kematian. 

 

Beliau berkata, kematian disebabkan COVID-19 menyumbang 0.3% daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun kedua 2023. 

 

"Johor merekodkan kematian COVID-19 tertinggi (37 kematian) manakala tiada kematian direkodkan di Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya. - DagangNews.com