KUALA LUMPUR 6 Julai - Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mengumumkan pelantikan Dr. Debbie Chiu Yuen-Yuen sebagai ketua pegawai operasi untuk mengetuai Bahagian Kimia Khusus bagi mengkuhkan kedudukan kumpulan itu dalam industri petrokimia.
Menerusi pelantikan itu, beliau akan membentuk pasukan pengursan terbaik bagi menguruskan perancangan strategik ke arah menyokong aspirasi jangka panjang mereka dalam bahan kimia khusus.
Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, trajektori pertumbuhan pasaran bahan kimia khusus pada peringkat global dijangka berterusan dan pihaknya berbangga untuk memperkukuhkan kehadiran dengan penubuhan bahagian baharu itu.
"Keseluruhan PCG mengalu-alukan Dr. Debbie untuk menerajui bahagian baharu ini kerana kami yakin dengan pengetahuan teknikal kimia dan pengetahuan aplikasinya yang luas, selain mempunyai visi yang tepat dalam merealisasikan aspirasi pertumbuhan bahan kimia khusus kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Debbie memiliki pengalaman hampir 30 tahun dalam industri kimia dengan pengetahuan luas dalam bidang salutan, polimer khusus, penyimpanan tenaga, bahan untuk peralatan dan penyelesaian gentian.
Beliau juga mempunyai pengalaman kepimpinan dalam penggabungan dan pengambilalihan, transformasi perniagaan dan pengembangan pasaran.
Debbie berkata, PCG mempunyai aspirasi yang jelas dan cita-cita yang tinggi dalam perniagaannya dan bahan kimia khusus memainkan peranan besar untuk mencapai matlamat.
"Saya berbesar hati untuk mengetuai pasukan baharu ini dan berharap dapat memberikan impak positif dengan memaksimumkan tawaran semasa kami dan memanfaatkan peluang pertumbuhan untuk syarikat,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada strategi dua serampangnya, PCG telah mengenal pasti penjurusan ke arah bahan kimia khusus sebagai penyumbang utama dalam pertumbuhan syarikat yang mampu melindungi perniagaan daripada ketidakstabilan industri minyak dan gas yang lebih luas.
Portfolio bahan kimia khusus PCG membawa pelbagai jenis produk termasuk silikon, bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia, resin dan salutan, cecair tereka bentuk, pemakanan haiwan dan salutan termaju ke pasaran.
PCG berharap untuk mengembangkan kehadiran bahan kimia khususnya dan menjurus kepada aliran hasil baharu dengan penubuhan bahagian baharu ini yang mempunyai lebih kurang 2,000 pekerja. - DagangNews.com