Dr Noor Azuan dilantik sebagai Naib Canselor baharu UNITEN | DagangNews Skip to main content

Dr Noor Azuan dilantik sebagai Naib Canselor baharu UNITEN

Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun - Pakar biomekanik yang juga penerima Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-14, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dilantik sebagai Naib Canselor kelima Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 8 Jun 2022.

 

Berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal dari University of Bradford, United Kingdom (UK); diikuti Sarjana serta Doktor Falsafah Bioengineering dari University of Strathclyde, Scotland, beliau sebelum ini berkhidmat di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

 

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Hasan Arifin berkata, beliau yakin Dr Noor Azuan dapat mencurahkan pengalaman luasnya untuk membantu UNITEN mengukuhkan lagi martabatnya sebagai institusi pengajian tinggi di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

 

“Saya mewakili Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan serta seluruh warga kerja TNB mengucapkan tahniah kepada beliau atas pelantikan sebagai Naib Canselor UNITEN,” kata beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UNITEN selepas menerima kunjungan hormat Naib Canselor baharu di pejabatnya di Kompleks Ibu Pejabat TNB, Bangsar baru-baru ini.

 

Dr Noor Azuan menggantikan Prof. Datuk Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha yang bersara pada 7 Jun 2022 selepas menyandang jawatan tersebut sejak 5 Mei 2015. TNB mengucapkan terima kasih kepada Dr Kamal Nasharuddin atas segala sumbangannya menerajui UNITEN.

 

Pada Mac lalu, Dr Noor Azuan dinobatkan sebagai penerima ANN ke-14 bagi Kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk atas penyelidikan yang berjaya meletakkan Malaysia di tempat kedua di dunia dalam bidang penyelidikan Prostetik dan Ortotik (P&O) selepas Amerika Syarikat.

 

Ketika menjadi Dekan Fakulti Kejuruteraan UM, beliau diingati sebagai tokoh yang berjaya membawa fakulti berkenaan menjadi antara sepuluh terbaik di dunia. Beliau kemudian menjadi Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UMT dan diberi kepercayaan menjalankan fungsi Naib Canselor UMT, sebelum kembali semula ke UM sebagai Pemangku Pendaftar.

 

 

tnb
Dr. Noor Azuan (kiri) ketika membuat kunjungan hormat bertemu Datuk Seri Hasan Arifin (kanan) sebaik dilantik Naib Canselor baru UNITEN di ibu pejabat TNB.

 

 

Beliau aktif sebagai Presiden Persatuan Biomekanik Malaysia dan mewakili Malaysia dalam Majlis World Council of Biomechanics serta Jawatankuasa Eksekutif Asian Pacific Association of Biomechanics. Beliau juga adalah Pengarah Centre for Applied Biomechanics di UM serta Pengasas BioApps Sdn. Bhd.

 

Dr Noor Azuan turut menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Inovasi Malaysia dan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman. 

 

Pengalaman luasnya membolehkan beliau diberi kepercayaan sebagai profesor pelawat di beberapa institusi pengajian tinggi di China dan penilai luar universiti di Brunei, Australia, Saudi Arabia, Singapura, Qatar dan UK.

 

Seluruh warga UNITEN mengalu-alukan pelantikan Dr Noor Azuan dengan keyakinan bersama-sama mencapai kecemerlangan misi dan visi UNITEN untuk menjadi sebuah institusi  pendidikan tinggi bertaraf global, berdaya saing dan terunggul, sejajar hasrat Malaysia muncul sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa. - DagangNews.com