DRB-Hicom dikenakan caj cukai tambahan RM246 juta oleh LHDN | DagangNews Skip to main content

DRB-Hicom dikenakan caj cukai tambahan RM246 juta oleh LHDN

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Sept - Anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Berhad, Hicom Holdings Berhad (HHB) telah menerima Notis Taksiran daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tahun taksiran 2020 berjumlah RM246.24 juta (termasuk penalti).

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, DRB-Hicom berkata, notis ini dikeluarkan berikutan keputusan LHDN untuk menganggap keuntungan daripada penjualan pelaburan jangka panjang yang dipegang dalam anak syarikat sebagai pendapatan yang tertakluk kepada cukai di bawah Seksyen 4(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk tahun taksiran 2020.

 

Menurut konglomerat itu, Hicom Holdings Berhad diberi tempoh 30 hari dari tarikh Notis Taksiran untuk merayu terhadap keputusan LHDN. 

 

 

"Setelah berunding dengan penasihat cukai dan peguamnya, Hicom Holdings berpendapat terdapat asas undang-undang yang sah untuk mempertahankan diri daripada notis tersebut. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: TNB kena lagi cukai tambahan RM1.39 bilion daripada LHDN, kemuka rayuan di mahkamah

 

"Oleh itu, Hicom Holdings berniat untuk merayu dan jika perlu, memulakan tindakan undang-undang untuk mencabar asas dan kesahihan Notis yang dikeluarkan oleh LHDN," katanya hari ini.

 

DRB-Hicom akan membuat pengumuman lanjut jika terdapat sebarang perkembangan material berkenaan perkara ini. - DagangNews.com