DRB-Hicom raih perolehan RM4.74 bilion pada 1H20 | DagangNews Skip to main content

DRB-Hicom raih perolehan RM4.74 bilion pada 1H20

DRB-Hicom

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Syarikat DRB-Hicom Berhad (DRB-Hicom) berjaya mencatatkan nilai perolehan sebanyak RM4.74 bilion bagi separuh pertama 2020.

DRB-Hicom dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah perolehan tersebut diterajui oleh sumbangan daripada sektor automotif kumpulan.

“Kerugian pra-cukai untuk tempoh tersebut juga berjumlah RM551.11 juta.

“Untuk suku kedua 2020 yang berakhir pada 30 Jun 2020 berjumlah RM2 bilion, sementara kerugian pra-cukai untuk tempoh tersebut pula adalah RM365.80 juta,” jelas DRB-Hicom.

Sepanjang suku kedua 2020, kegiatan ekonomi DRB-Hicom hanya mula beroperasi pada pertengahan Mei selepas  pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.

Selain terkesan daripada bilangan hari bekerja yang rendah untuk suku tersebut, syarikat itu juga turut dipengaruhi oleh kerugian modifikasi yang dicatatkan oleh Bank Muamalat susulan moratorium pinjaman yang diperkenalkan pihak kerajaan.

Jelas syarikat itu juga, penurunan nilai aset tetap tertentu turut memberi kesan kepada prestasi syarikat.

DRB-Hicom tidak mengeluarkan perbandingan tahun ke tahun pada tahun kewangan semasa susulan perubahan dalam tahun kewangannya yang kini berakhir pada Disember.

Untuk sektor automotif, DRB-Hicom mencatatkan perolehan RM2.87 bilion untuk separuh pertama 2020.

Jualan automotif itu didorong oleh pengecualian cukai penjualan yang diumumkan kerajaan pada awal Jun.

Untuk sektor perkhidmatan pula, DRB-Hicom mencatatkan perolehan sebanyak RM1.70 bilion untuk separuh pertama 2020 dengan Pos Malaysia meningkatkan jumlah penghantaran bungkusan untuk  tempoh berkenaan.

“Jumlah perolehan RM172.24 juta pula dicatatkan daripada sektor hartanah untuk tempoh sama.

“Jumlah tersebut mencerminkan impak dari pengurangan aktiviti dalam sub-sektor pembinaan serta penjualan harta tanah kediaman yang lebih rendah,” jelas DRB-Hicom. - DagangNews.com