KUALA LUMPUR 2 Ogos - Dua individu, Mohamad Aiman Abdullah dan Abdul Mozaid Hasbullah berjaya menjuarai Pertandingan Mencipta Slogan dan Reka Cipta Logo sempena Sambutan Ulang Tahun Ke -150 Tahun Bandar Taiping, Perak anjuran Majlis Perbandaran Taiping (MPT), baru-baru ini.
Mohamad Aiman yang menjuarai kategori reka cipta logo membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM4,000, manakala Abdul Mozaid memenangi wang tunai sejumlah RM1,150 bagi kategori mencipta slogan, selain mock cek dan sijil penghargaan.
Seramai 10 pemenang sagu hati turut membawa hadiah wang tunai berjumlah RM500 dan RM150 untuk kedua-dua kategori yang dipertandingkan.
Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, MPT telah menganjurkan Pertandingan Mencipta Slogan Sambutan Ke-150 Tahun Bandar Taiping bermula 20 Disember 2021 hingga 14 Februari 2022.
"Tahniah saya ucapkan kepada pemenang dan slogan yang telah dipilih adalah ‘Kelestarian Warisan Mendepani Urbanisasi’.
"Bagi melengkapi slogan ini, Pertandingan Reka Cipta Logo Sambutan Ke-150 Tahun Bandar Taiping telah berlangsung pada 5 April 2022 hingga 4 Mei 2022. Pemenang pencipta logo dipilih berdasarkan beberapa kriteria iaitu ringkas, mudah difahami, tidak terlalu kompleks, mainan warna dan penerangan yang jelas," katanya.
Dalam pada itu, Khairul Amir berkata, MPT perlu dinamik dan produktif dalam mengurus isu perbandaran serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata, MPT telah mewujudkan 24 Zon Jawatankuasa Penduduk (JKP) yang dianggotai hampir 353 ahli bagi mencapai matlamat Taiping Bandar Paling Bersih di Malaysia menjelang tahun 2024.
"JKP akan menfokuskan penglibatan serta penyertaan masyarakat di dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di peringkat MPT.
"Antara program yang dirancang adalah Jom Plog, Jom Recycle, Kempen E-Waste, Cakna Jadual Kutipan Sampah, Kempen Anti Sampah Haram di setiap Zon JKP yang mana ia akan disampaikan melalui pelbagai aktiviti secara formal seperti Sesi Libat Urus, Dialog, Forum dan aktiviti tidak formal dan santai bersesuaian dengan semua segmen masyarakat.
Katanya, program tersebut dapat meningkatkan lagi pemahaman masyarakat berkaitan amalan penjagaan alam sekitar yang boleh dilaksanakan di peringkat komuniti, seterusnya memberi impak tinggi kepada tahap kebersihan di kawasan setempat menjelang 2024 sempena Sambutan Ke-150 Tahun Bandar Taiping. - DagangNews.com