Duopharma Biotech bekalkan vaksin COVID-19, Sputnik V ke Malaysia | DagangNews Skip to main content

Duopharma Biotech bekalkan vaksin COVID-19, Sputnik V ke Malaysia

 

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Duopharma Biotech Berhad menandatangani perjanjian dengan kerajaan Malaysia baru-baru ini bagi membekalkan 6.4 juta dos vaksin COVID-19, Sputnik V.

 

Ia melibatkan anak syarikat milik penuhnya, Duopharma (M) Sendirian Berhad (DMSB) dan Kementerian Kesihatan  yang memuktamadkan perjanjian bekalan secara berasingan dengan kerajaan dan juga subsidiari Russian Direct Investment Fund (RDIF).

 

Ini susulan pengumuman yang dibuat pada 26 Januari lalu melibatkan perjanjian tidak terikat berasingan antara DMSB dengan kerajaan dan RDIF. 

 

Pembekalan vaksin itu tertakluk kepada syarat di bawah perjanjian itu, antaranya vaksin yang diluluskan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) Malaysia serta tertakluk kepada terma dan syarat pembekalan yang lain.

 

Pengarah Urusan Duopharma Biotech Group, Leonard Ariff Abdul Shatar mengesahkan kesiapsiagaan syarikat berhubung perkara berkenaan. 

 

"Pandemik COVID-19 menyebabkan semua rakyat di negara ini berdepan cabaran luar biasa, yang mana kami dapat membantu melalui kerjasama dalam pelbagai aspek. 

 

"Dalam hal ini, pihak syarikat sangat komited dan berbangga dapat menjadi sebahagian daripada program inokulasi kebangsaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sputnik V dibangunkan oleh Gamaleya National Research Institute of Epidemiology and Microbiology (Gamaleya) yang berpangkalan di Rusia. 

 

Vaksin ini telah berjaya didaftarkan di 68 buah negara merentasi Amerika Utara dan Selatan, Asia Barat, Eropah, Asia dan Afrika. 

 

Didapati 3 daripada negara yang sudah berdaftar untuk Sputnik V ini iaitu Hungary, Slovakia dan Argentina merupakan anggota European Pharmaceutical Inspection Co-operation Scheme (PIC/S). 

 

Berdasarkan hasil analisis interima kedua fasa ketiga yang diterbtkan oleh jurnal perubatan terkemuka dan tertua di dunia, The Lancet, keberkesanan Sputnik V disahkan pada 91.6%.

 

Tambahan pula, ia merupakan satu daripada tiga vaksin di dunia dengan penilaian keberkesanan lebih daripada 90%, dan tidak ada kejadian buruk yang serius dikaitkan dengan vaksin tersebut. - DagangNews.com