Dutch Lady lancarkan Program Susu Sekolah 2023 bagi 75,000 murid sekolah | DagangNews Skip to main content

Dutch Lady lancarkan Program Susu Sekolah 2023 bagi 75,000 murid sekolah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Sept - Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) melancarkan Program Susu Sekolah 2023 yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kekurangan zat makanan murid-murid sekolah negara ini dan membekalkan khasiat kepada mereka yang tidak mengambil sarapan disebabkan oleh faktor sosio-ekonomi. 

 

Fokus program ini akan tertumpu di Zon 8 yang merangkumi sekolah-sekolah rendah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya di mana 75,000 murid-murid sekolah rendah akan menikmati produk susu berkualiti dari Dutch Lady pada setiap hari persekolahan.

 

Program yang dilancarkan di SK Putrajaya Presint 16 (2) itu merupakan permulaan jerayawara di sebelas sekolah terpilih yang yang akan melibatkan 15,000 murid  bermula September hingga Oktober ini.

 

Ia merangkumi aktiviti interaktif bagi mendidik kanak-kanak dan ibu bapa tentang kepentingan pemakanan tenusu, trak sarapan dalam menyuburkan kanak-kanak secara langsung dan juga pakar pemakanan untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan sarapan.

 

DLMI, pengeluar tenusu terbesar di negara ini, telah menjadi rakan kongsi yang kuat kepada Kementerian Pendidikan untuk Program Susu Sekolah.

 

dutch lady
Ranjit Kaur Virik

 

Sejak 2011, mereka telah mengedarkan lebih 185 juta pek susu kepada 4.5 juta pelajar di negara ini.

 

Pengarah Urusannya, Ranjit Kaur Virik berkata, menjelang akhir program itu pada 2024, DLMI akan mengagihkan hampir 14 juta pek susu kepada 75,000 murid sekolah rendah.

 

"Program inovatif yang dilaksanakan hari ini merupakan contoh Perkongsian Awam-Swasta (PPP) untuk mengadakan penyelesaian holistik jangka panjang bagi menangani isu malnutrisi bagi memastikan kita melakukan sesuatu yang betul untuk kebaikan kanak-kanak kita.

 

"Kami berharap kerajaan akan terus lebih inklusif dalam perancangan strategiknya untuk menangani masalah pertumbuhan terbantut dan kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak dengan menjemput sektor swasta untuk mengadakan penyelesaian holistik jangka panjang bagi mengatasi agenda kesihatan negara ini," katanya. - DagangNews.com