Duti setem nota kontrak dagangan saham dihadkan pada RM1,000 - Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Duti setem nota kontrak dagangan saham dihadkan pada RM1,000 - Bursa Malaysia


KUALA LUMPUR 31 Dis - Bursa Malaysia Bhd menyambut baik keputusan Kementerian Kewangan (MOF) membabitkan peremitan duti setem ke atas nota kontrak bagi dagangan saham disenaraikan di Bursa Malaysia yang akan dihadkan pada RM1,000.

 

Menurut pengendali bursa itu, MOF telah mengumumkan bahawa duti setem itu ditetapkan pada RM1.50 bagi setiap RM1,000 atau sebahagian daripada RM1,000 daripada nilai nota kontrak mana-mana saham atau stok dan duti setem itu dihadkan pada RM1,000.

 

Keputusan itu adalah sah bagi tempoh mulai 1 Jan, 2022 hingga 31 Dis, 2026.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, ketangkasan Kementerian Kewangan dalam memberi maklum balas terhadap persekitaran operasi pasaran adalah sesuatu yang amat dihargai.

 

"Pendekatan sederhana membabitkan perubahan duti setem ini itu mencerminkan sikap peduli kerajaan terhadap maklum balas industri dan dalam menguruskan keseimbangan antara aspek mengutip cukai dan memupuk pertumbuhan dalam pasaran modal kita,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, sebagai pihak pengendali pasaran, Bursa Malaysia komited untuk terus melaksanakan libat urus dan bekerjasama dengan semua peserta pasaran ke arah mewujudkan pasaran yang menarik serta mampan.

 

"Tindakan oleh MOF ini dapat mengekalkan daya tahan serta tarikan pasaran kita di peringkat serantau.

 

''Malah, Bursa Malaysia dan MOF akan terus memastikan pasaran ini kekal sebagai destinasi pilihan pelabur dan penerbit bagi tujuan pelaburan serta pengumpulan dana,” katanya.

 

Bursa Malaysia berkata, kalangan organisasi terbabit telah dimaklumkan mengenai perubahan itu dan para pelabur juga dinasihatkan untuk merujuk broker masingmasing mengenai pindaan berkaitan duti setem tersebut. - DagangNews.com