MCMC, MIDA bekerjasama bangunkan rangka kerja penilaian kesediaan perkhidmatan 5G Malaysia | DagangNews Skip to main content

MCMC, MIDA bekerjasama bangunkan rangka kerja penilaian kesediaan perkhidmatan 5G Malaysia

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 25 Sept - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menganjurkan bengkel rangka kerja bagi menilai kesediaan perkhidmatan 5G di Malaysia.

 

Bengkel sehari itu, yang diadakan di Putarajaya pada Selasa dengan sasaran membangunkan rangka kerja bagi menilai kesediaan teknologi 5G dalam sektor ekonomi utama, termasuk pembuatan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian.

 

MCMC berkata, bengkel itu adalah susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) bersama MIDA pada 4 Julai 2024 yang bertujuan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memanfaatkan rangkaian 5G dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

“Parameter ini akan digunakan untuk menilai kesediaan sektor utama yang akan meliputi aspek seperti lokasi, pelaburan, kemahiran atau bakat, infrastruktur dan perkhidmatan digital.

 

"Maklum balas yang dikumpul kemudiannya akan digunakan untuk membangunkan rangka kerja penilaian komprehensif penggunaan teknologi 5G merentasi pelbagai industri di Malaysia, termasuk PKS," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Lebih 100 peserta daripada syarikat telekomunikasi dan persatuan industri yang berkaitan menghadiri bengkel itu termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), SIRIM Bhd, SME Corp Malaysia dan Digital Nasional Bhd (DNB).

 

MCMC menyifatkan bengkel itu sebagai langkah penting bagi memastikan kesediaan industri dalam mengguna pakai teknologi 5G.

 

“Ia berpotensi untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan,” katanya.

 

Sementara itu, MIDA menekankan komitmennya mewujudkan persekitaran kondusif dalam penggunaan teknologi termaju.

 

"Penggunaan teknologi 5G bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti dalam industri utama tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai peneraju inovasi digital di rantau ini, memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara di peringkat global," katanya.- DagangNews.com