ECERDC tarik pelaburan komited RM9.5 bilion ke Pahang  | DagangNews Skip to main content

ECERDC tarik pelaburan komited RM9.5 bilion ke Pahang 

Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang dipengerusikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail secara maya hari ini.

 

 

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) setakat ini telah menarik pelaburan komited sebanyak RM9.5 bilion ke Pahang, melepasi sasaran awal untuk negeri ini bagi 2021 iaitu RM5.1 bilion. 

 

Kemasukan pelaburan ini dijangka mewujudkan lebih daripada 6,700 pekerjaan baharu dan 170 peluang keusahawanan bagi penduduk di negeri tersebut. 

 

Dalam pada itu, ECERDC juga telah merealisasikan pelaburan sebanyak RM2 bilion di Pahang pada tahun ini.

 

Pelaburan baharu tersebut merangkumi pembangunan tanah tinggi bersepadu, peluasan kilang pembuatan keluli dan pembuatan sarung tangan di Pahang bagi tahun 2021.

 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC mengekalkan momentum dalam memastikan projek-projek strategik dan inisiatif-inisiatif yang dirancang untuk negeri itu. 

 

"Ini termasuklah projek seperti kerja-kerja infrastruktur dan program-program pembangunan modal insan, dapat diteruskan bagi mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan pilihan sekali gus dapat dinikmati oleh warga tempatan,” katanya dalam kenyataan.

 

Beliau hari ini mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang yang diadakan secara maya.

 

Dalam masa sama, Wan Rosdy turut menyertai sesi maya Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 untuk mendorong para peserta melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan yang relevan dalam pekerjaan pada masa hadapan dan mampu menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi.

 

Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 dijalankan menerusi siri webinar yang menyasarkan pelajar lepasan SPM di bawah program empower ECER di serata ECER.

 

Bagi mengekalkan momentum penarikan pelaburan ke Pahang, ECERDC terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengadakan lebih banyak aktiviti promosi pelaburan pada separuh kedua 2021 bagi menarik pelabur dalam sektor-sektor ekonomi utama.

 

ECERDC juga akan mengetengahkan Taman Automotif Pekan (PAP) sebagai Taman Perindustrian Automotif
Hijau dengan kerjasama Malaysian Green Technology Corporation (MGTC), SIRIM dan Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES).

 

Di samping itu, kerajaan negeri juga mengenal pasti tanah di Pahang Barat yang sesuai untuk projek Lembah Tenusu ECER yang menyasarkan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) susu segar negara sebanyak 40% bagi mengurangkan kebergantungan terhadap susu diimport. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, walaupun tidak dapat mengadakan misi pelaburan ke luar negara atau acara secara fizikal, tetapi ECERDC telah menganjurkan 3 webinar pada separuh pertama 2021 untuk membina hubungan dan menarik pelabur-pelabur antarabangsa. 

 

Antara webinar yang dianjurkan termasuklah Investment Opportunities in the East Coast Economic Region for Petrochemical and Automotive Industries (anjuran bersama Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun), Malaysia: The Oil, Gas and Petrochemical Hub for ASEAN (dengan kerjasama wakil-wakil perdagangan daripada Persekutuan Rusia) dan Investment Opportunities in Life Sciences and Medical Technology in ECER.

 

"Webinar pelaburan ini menyaksikan penyertaan lebih daripada 900 pelabur berpotensi dan ECERDC yakin dapat menarik pelaburan baharu ke ECER dan Pahang," katanya.

 

Beliau juga berkata, Pahang kekal menerajui pertumbuhan ekonomi di ECER dengan sektor pembuatan sebagai penyumbang utama. 

 

Sehubungan itu, katanya, ECERDC komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi ini dapat diteruskan di negeri ini agar manfaat yang diwujudkan menjadi pemangkin pembangunan di negeri-negeri lain. - DagangNews.com