Econpile raih kontrak kerja substruktur bernilai RM83 juta bagi pembinaan kediaman di Bukit Tunku | DagangNews Skip to main content

Econpile raih kontrak kerja substruktur bernilai RM83 juta bagi pembinaan kediaman di Bukit Tunku

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Econpile Holdings Bhd menerusi Econpile (M) Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM83 juta daripada BRDB Developments Sdn Bhd bagi kerja-kerja substruktur bagi cadangan pembinaan kediaman di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

 

Menerusi kontrak itu, kumpulan itu akan menjalankan kerja-kerja tanah, struktur penahan, cerucuk, dek jalan serta kerja-kerja sampingan bagi cadangan pembinaan 146 kediaman terdiri daripada lapan blok kediaman vila dengan dua serta empat tingkat tempat letak kereta bawah tanah selain dua blok tempat letak kereta termasuk kemudahan awam.

 

"Projek itu dijadualkan siap dalam tempoh 18 bulan bermula 1 Mac 2024," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan syarikat dari tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan seterusnya.

 

Katanya, tiada risiko ketara yang boleh dijangka selain daripada risiko operasi yang berkaitan dengan projek semasa tempoh kontrak.

 

Pihak pengurusan akan melaksanakan langkah kawalan dan prosedur operasi untuk mengurangkan kesan atau kemungkinan kejadian tersebut.

 

"Tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat atau orang yang mempunyai hubungan dengan mereka, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam projek itu," katanya. - DagangNews.com