Edaran Tan Chong Motor sumbang RM20,000 bantu mangsa banjir rumah kebajikan | DagangNews Skip to main content

Edaran Tan Chong Motor sumbang RM20,000 bantu mangsa banjir rumah kebajikan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) telah menyumbang sebanyak RM20,000 dalam usaha membantu pemulihan bencana banjir.

 

Bantuan tersebut digunakan untuk membeli barang keperluan, makanan, barangan kebersihan diri serta membersihkan dan membaiki kawasan perumahan yang rosak akibat banjir.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10,000 akan disalurkan kepada Pusat Jagaan Baitul Hidayah, manakala Rumah SVP Klang dan Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Klang Utama Caring Home, masing-masing menerima RM5,000.

 

Penjaga Pusat Jagaan Baitul Hidayah yang dikenali Saadiah berkata, pihaknya bersyukur menerima bantuan daripada ETCM yang dapat meringankan beban mereka.

 

“Banjir hampir menenggelamkan rumah kami sepenuhnya. Ia berlaku begitu pantas, kami hampir tidak dapat menyelamatkan apa-apa dan semuanya musnah.

 

"Keselamatan kanak-kanak di sini sentiasa menjadi keutamaan kami dan saya bersyukur kerana anak-anak semuanya selamat," katanya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Chong Motor Holdings Berhad (TCMH), Daniel Ho berkata, pelbagai kisah menyayat hati daripada kejadian banjir baru-baru ini.

 

"Kami amat sedih melihat banjir menenggelamkan rumah dan kereta. Saya berharap gerak isyarat kami akan membantu meringankan beban mereka yang terjejas dalam masa sukar ini," katanya. 

 

 

nissan

 

 

Dalam pada itu, ETCM bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis Sdn. Bhd. (TCEAS) turut melaksanakan program Bantuan Bantuan Banjir Nissan yang menawarkan diskaun 20% ke atas alat ganti dan caj buruh, harga pemulihan upholsteri khas serta Pelan Pembayaran Mudah (EPP) sehingga 12 bulan bagi membantu meringankan beban kewangan pemilik kenderaan Nissan yang terjejas.

 

 

nissan

 

 

Sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, ETCM juga telah meminjamkan sejumlah enam kenderaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

 

Unit-unit ini telah dipinjamkan untuk menyokong usaha bantuan banjir dan program vaksinasi. - DagangNews.com