EdgePoint Infrastructure catat pembinaan 1,500 tapak menara telekomunikasi di seluruh Malaysia | DagangNews Skip to main content

EdgePoint Infrastructure catat pembinaan 1,500 tapak menara telekomunikasi di seluruh Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Nov -  EdgePoint Infrastructure mencatatkan pembinaan 1,500 tapak menara telekomunikasi di seluruh Malaysia termasuk pemerolehan portfolio menara tambahan baru-baru ini.

 

Ia menjadikan EdgePoint syarikat pengendali menara kedua terbesar di negara ini selepas edotco yang merupakan anak syarikat Axiata.

 

Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers Sdn Bhd, Muniff Kamaruddin berkata, rakyat Malaysia kini memerlukan sambungan Internet yang berkualiti dan boleh dipercayai untuk memenuhi permintaan digital yang kian berubah, yang hanya boleh disalurkan dengan perkhidmatan dan infrastruktur yang berinovasi. 

 

Oleh pihaknya sentiasa ingin berada di hadapan bagi membina sebuah masyarakat digital yang berdaya tahan dan menyeluruh, 

 

"EdgePoint akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan di Malaysia bagi menyalurkan aspirasi ketersambungan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sepanjang tiga tahun di Malaysia, syarikat itu telah menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk pelanggannya, termasuk rumusan liputan pembinaan mengikut kesesuaian, lokasi bersama dan dalam bangunan (IBC). 

 

telko
Muniff Kamaruddin

 

EdgePoint membina kira-kira 200 tapak sejak penubuhannya dan menjangkakan untuk meningkatkan jumlah ini dengan ketara sepanjang 2024.

 

Sejak penubuhannya, syarikat itu telah mengembangkan portfolionya di seluruh Malaysia, serta di Filipina melalui EdgePoint Filipina dan Indonesia, melalui anak syarikat EdgePoint di negara itu, Centratama.

 

Sepanjang 2023, EdgePoint telah bekerjasama dengan Sunway Group bagi menaik taraf infrastruktur telekomunikasi di dalam Sunway Pyramid, Sunway Pyramid Convention Centre, dan Sunway Medical Centre, serta bekerja dengan myNEWS Holdings Berhad.

 

Menerusi kerjasama itu kumpulan itu menyediakan teknologi telekomunikasi generasi baharu di cawangan-cawangan myNEWS dan CU di seluruh Semenanjung untuk meningkatkan liputan dan kapasiti rangkaian 4G/5G untuk digunakan oleh pelanggan semasa menjalankan pembayaran mereka. - DagangNews.com