edotco, syarikat infrastruktur telekomunikasi pertama Malaysia sertai UNGC | DagangNews Skip to main content

edotco, syarikat infrastruktur telekomunikasi pertama Malaysia sertai UNGC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - edotco Group menjadi syarikat infrastruktur telekomunikasi pertama di Malaysia yang diterima untuk sertai United Nations Global Compact (UNGC) sebagai penandatangan, sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat dalam memenuhi aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

Sebagai penandatangan UNGC, edotco akan menyokong 10 Prinsip terhadap hak asasi manusia, buruh, alam sekitar dan anti-rasuah, yang akan diterap ke dalam strategi, budaya dan operasi harian syarikat. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif edotco, Adlan Tajudin berkata, syarikat berbesar hati apabila diterima sebagai Ahli Penandatangan UNGC. 

 

“Penglibatan kami adalah sejajar dengan komitmen kami untuk menghayati konsep tanggungjawab korporat di seluruh perniagaan kami. 

 

Adlan Tajudin
Adlan Tajudin

 

“Kami akan terus melanjutkan agenda hijau dengan menumpukan kepada inisiatif meneutralkan karbon, kami akan memacu tanggungjawab sosial menerusi pengurusan pihak berkepentingan yang lebih bermakna, dan akan memastikan tadbir urus yang mampan menerusi pelaksanaan amalan dan standard terbaik bagi melindungi kepentingan dalaman dan luar kami,” katanya dalam satu kenyataan. 

 

Ujar beliau, kesemua amalan itu bukan sesuatu yang baharu buat edotco, tetapi melangkah ke hadapan, syarikat akan melaporkannya di dalam kerangka ESG syarikat untuk memastikan mereka meletakkan satu penanda aras. 

 

Katanya, edotco memahami pelabur dan orang awam melihat tanggungjawab organisasi menjangkaui keuntungan dan penyelesaian, seterusnya syarikat itu berhasrat untuk menonjolkan bahawa mereka mengambil kira komitmen alam sekitar dan sosial sebagai perkara serius. 

 

“Sama juga dengan usaha berterusan kami untuk menambah baik tadbir urus dan kebertanggungjawapan, edotco adalah sejajar dengan inisiatif kumpulan Axiata dalam memupuk tadbir urus yang baik dalam perniagaan kami,” kata beliau lanjut. 

 

UNGC merupakan inisiatif tanggungjawab korporat terbesar di dunia, terdiri daripada lebih 12,000 ahli dari lebih 160 buah negara. 

 

Ia merupakan seruan kepada syarikat untuk menyelaraskan strategi dan operasi mereka dengan 10 Prinsip UNGC, seterusnya mengambil tanggungjawab bersama dalam mencapai matlamat sosial yang lebih luas seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

 

Pengarah Eksekutif Rangkaian UNGC Malaysia dan Brunei, Faroze Nadar berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengalu-alukan penyertaan edotco sebagai sebahagian daripada gerakan global ke arah perniagaan mampan dan menyelarikan agenda kemampanan mereka dengan 10 Prinsip UNGC memandangkan industri telekomunikasi merupakan penyumbang utama kepada dunia yang mampan. 

 

Faroze Nadar
Faroze Nadar

 

“Bertapak di atas kerja-kerja yang bagus sedang dilakukan oleh edotco ketika ini, kami mahu bekerjasama untuk mengukuhkan edotco sebagai peneraju sektor ini yang mampan, di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

 

Sebagai tanda sokongan kepada ketelusan dan tanggungjawab awam, edotco akan melaporkan usaha-usahanya menerusi penyerahan kenyataan yang ditandatangani oleh ketua eksekutif, yang menyatakan komitmen berterusan mereka, penerangan mengenai tindakan praktikal serta hasil pengukuran baik dari segi kuantitatif dan kualitatif. - DagangNews.com