Edra peruntuk lebih RM400,000 bantuan pendidikan kepada 10,000 pelajar sekolah rendah di empat negeri | DagangNews Skip to main content

Edra peruntuk lebih RM400,000 bantuan pendidikan kepada 10,000 pelajar sekolah rendah di empat negeri

Para pelajar sekolah rendah bergambar ketika program Sokongan Didikan Edra di Stesen Janakuasa Edra Melaka pada 4 Januari 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Jan - Edra Power Holdings Sdn Bhd memperuntukkan lebih RM400,000 bantuan pendidikan kepada lebih 10,000 pelajar sekolah rendah di empat buah negeri menerusi program 'Sokongan Didikan Edra'.

 

Pengerusi Edra, Dai Honggang berkata, empat negeri itu meliputi Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah bagi menyediakan bantuan pendidikan kepada murid.

 

Beliau berkata, program Sokongan Didikan Edra adalah sejajar dengan matlamat Kerajaan Malaysia  untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar. 

 

"Ia juga bertujuan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif selain meningkatkan semangat dan kecemerlangan pelajar dalam pembelajaran mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Edra mengadakan program tersebut di Stesen Janakuasa Edra Melaka, yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

 

Di samping itu, Edra turut melancarkan projek perintisnya yang dikenali sebagai Kempen Sumbangan Buku Edra pada majlis itu.

 

Honggang berkata, para pelajar dari negeri-negeri yang terlibat termasuk di Melaka menerima baucar kasut bernilai RM120 dan beg sekolah setiap seorang, manakala sekolah akan menerima sumbangan kewangan antara RM4,000 hingga RM6,000.

 

 

edra
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada pelajar sekolah rendah pada program Sokongan Didikan Edra.

 

 

"Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, kami telah menyumbangkan 5,400 buku aktiviti dalam mata pelajaran Matematik dan Sains, dan lebih 2,000 buku latihan yang diedarkan kepada 10 sekolah di Melaka.

 

"Matlamat kami adalah untuk memberi inspirasi kepada murid-murid untuk memupuk minat dan semangat terhadap mata pelajaran penting ini sambil membangunkan kemahiran yang akan menyumbang ke arah kejayaan mereka pada masa hadapan. 

 

"Ini seterusnya, akan membantu negara dalam membentuk generasi yang bersedia untuk meneruskan pengajian dan kerjaya masa depan dalam subjek Matematik, Sains dan Teknologi," katanya.

 

 

edra

 

 

Sementara itu, Ab Rauf pula berkata, selain menyediakan bekalan tenaga mampan yang dijana dari EMPP untuk pembangunan ekonomi Melaka, Edra juga memikul komitmen dalam membawa perubahan positif kepada kehidupan murid-murid yang berusaha untuk belajar dan mencapai kejayaan.

 

"Bantuan pendidikan melalui Sokongan Didikan Edra ini adalah penting untuk memperkasa dan memotivasikan pelajar dengan meningkatkan proses pembelajaran mereka, terutamanya di peringkat pendidikan awal.

 

"Tambahan pula, inisiatif kempen sumbangan buku ini bukan sahaja akan meningkatkan prestasi akademik pelajar, tetapi ia juga menjadi platform untuk memperkemas kebolehan dan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis mereka," katanya. - DagangNews.com