Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Dis. - Penganalisis yakin prospek ekonomi dan pasaran ekuiti Malaysia akan berterusan pulih menjelang tahun hadapan.
Dipacu oleh pemulihan perbelanjaan pengguna dan perniagaan selain permintaan luaran, Malaysia bakal menyaksikan ekonomi tahun 2021 berkembang sehingga 7% sejajar ramalan kerajaan.
Dengan pengembangan terbesar fiskal pada Belanjawan 2021, Ahli Ekonomi di MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim menjangkakan aktiviti perniagaan bakal melonjak semula ekoran permintaan domestik yang lebih baik.
Ini sekali gus mendorong kepada kadar pengangguran yang dijangka menurun sehingga 3.6% menjelang penghujung 2021.
“Perbelanjaan pengguna akan meningkat didorong insentif-insentif seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) serta pengeluaran simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Kami meramalkan vaksin COVID-19 akan tersedia pada separuh kedua tahun 2021 (2H21) yang merupakan faktor utama untuk melonjak keyakinan prospek pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan,” katanya ketika menyampaikan Tinjauan Pasaran 2021 MIDF - Menuju Pemulihan secara maya hari ini.
Turut dijemput sebagai panel, Ketua Penyelidik MIDF, Imran Yassin Md. Yusof dan Ketua Strategi MIDF, Syed Muhammed Kifni Syed Kamaruddin.
Di Asia, China dan India akan memacu pertumbuhan ekonomi negara-negara sedang membangun termasuk Malaysia, sekali gus menyumbang kepada prospek pemulihan ekonomi global lebih baik.
Namun begitu, peningkatan kes pandemik COVID-19 yang berterusan kekal sebagai risiko utama kepada ramalan pertumbuhan negara dan global.
Peningkatan semula kes COVID-19 di Malaysia dan negara-negara lain merencatkan pemulihan ekonomi semasa.
Sebarang penangguhan dalam pentadbiran vaksin pandemik berkenaan melambatkan usaha untuk mengekang penularan jangkitan itu, tambah Abdul Mui’zz.
Dari segi perkembangan pasaran saham Malaysia, bursa tempatan berterusan melihat penjualan ekuiti negara sehingga mencatatkan aliran keluar tertinggi dibandingkan dengan pasaran sedang membangun di Asia Tenggara.
Imran Yassin meletakkan potensi aliran masuk asing tinggi ke dalam pasaran negara ditentukan oleh ringgit yang lebih mengukuh serta pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik.
“Kedua-dua faktor itu dapat menarik semula minat pelabur asing. Bagaimanapun, aliran keluar asing berkurangan pada November berbanding bulan sebelumnya,” kata Imran.
Dalam pada itu, ketidaktentuan harga minyak mentah tidak dinafikan memberi impak besar ke atas nilai ringgit memandangkan Malaysia merupakan negara pengeksport petroleum yang besar.
Ramalan bahawa harga sumber itu meningkat pada tahun hadapan termasuk usaha pengurangan pengeluaran minyak menjadi pemangkin pengukuhan pergerakan ringgit.
Mengambil kira faktor-faktor berkenaan serta sektor import dan eksport Malaysia, ringgit dijangka mencapai RM4.04 pada penghujung tahun hadapan. - DagangNews.com