KUALA LUMPUR 11 Nov - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga sebanyak 14.2% yang diumumkan hari ini membuktikan bahawa dasar kerajaan sewaktu krisis COVID-19 adalah tepat dan membuahkan hasil, demikian menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2022, katanya, ekonomi negara meningkat 9.3% yang juga pertumbuhan sembilan bulan tertinggi sejak 2000 atau lebih dua dekad lepas.
Malah, beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai satu berita baik kerana membuktikan bahawa perniagaan telah berkembang, pekerjaan dapat diwujudkan dan pengangguran berkurangan kepada 3.6% pada September 2022, kadar terendah sejak kemuncak COVID-19 pada Mei 2020 iaitu 5.3%.
“Saya berpuas hati (dengan pencapaian ini) tetapi banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk membantu ekonomi rakyat. Bukan senang untuk mengurus ekonomi ketika pandemik disebabkan ruang fiskal yang sempit.
“Kita melaksanakan banyak dasar yang tak pernah dibuat oleh mana-mana negara sebelum ini seperti moratorium bersasar dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Alhamdulillah, pencapaian KDNK ini membuktikan banyak keputusan yang dibuat adalah betul," katanya dalam sidang media di Kuala Selangor, hari ini seperti dilapor Bernama.
Baca : BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus pagi tadi mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga 2022.
Pertumbuhan itu dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sewaktu pandemik, kerajaan memperuntukkan pakej rangsangan dan sokongan secara keseluruhannya bernilai RM530 bilion demi membantu rakyat dan perniagaan.
Jumlah tersebut tidak termasuk Bajet 2021 dan 2022 dengan nilai keseluruhannya melebihi RM654 bilion.
"Kerajaan juga perlu bekerja lebih keras untuk memastikan rakyat dapat hidup dengan lebih selesa, terutama berikutan jangkaan ekonomi dunia yang lebih perlahan pada tahun depan," katanya. - DagangNews.com