Ekonomi Malaysia dijangka kekal tumbuh sederhana meskipun berdepan cabaran global – DOSM | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia dijangka kekal tumbuh sederhana meskipun berdepan cabaran global – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Jan - Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan sederhana disokong oleh prestasi berdaya tahan dalam industri berorientasikan domestik meskipun menghadapi ketidakpastian pasaran global, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Melihat kepada landskap ekonomi dunia menerusi laporan Prospek Ekonomi Global terkini, jabatan itu berkata Bank Dunia meramalkan ekonomi global akan menyederhana kepada 2.4% pada 2024.

 

Aliran perlahan bagi tahun ketiga berturut-turut ini, katanya, menunjukkan aktiviti ekonomi global terus menyederhana berikutan peningkatan risiko geopolitik dan ketidaktentuan dalam pasaran komoditi.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan anggaran keluaran dalam negeri kasar (KDNK) awalan, ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang 3.4% pada suku keempat 2023, meningkat sedikit daripada 3.3% pada suku sebelumnya.

 

Secara khususnya, sektor perkhidmatan terus mengekalkan kedudukannya sebagai pendorong utama prestasi ekonomi pada tempoh tersebut dengan pertumbuhan positif direkodkan di semua sektor lain,” ujar beliau dalam kenyataan media hari ini mengulas laporan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 1/2024.

 

 

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin 

 

 

Bagi prestasi indikator ekonomi bulanan, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia, yang mengukur hasil sebenar dalam sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik mencatatkan peningkatan 0.6% tahun ke tahun pada November 2023 yang disokong kenaikan sektor perlombongan sebanyak 1.9% dan sektor elektrik 4.2%.

 

Dari sudut nilai jualan, jualan sektor pembuatan menurun 2.6% tahun ke tahun pada November 2023 kepada RM155 bilion, terutamanya disebabkan oleh penyusutan ketara dalam subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 10.8%; dan subsektor peralatan elektrik dan elektronik yang merosot 5.3 %.

 

Dalam konteks sektor perdagangan borong dan runcit, nilai jualan pada November 2023 merekodkan RM142.6 bilion, meningkat 6.2% tahun ke tahun didorong subsektor perdagangan borong yang meningkat 6.2% atau RM3.7 bilion kepada RM63.2 bilion, diikuti perdagangan runcit dan kenderaan bermotor dengan pertumbuhan masing-masing sebanyak 4.4% (RM2.6 bilion) dan 12.7% (RM2 bilion).

 

“Melihat kepada perspektif harga, inflasi Malaysia meningkat sederhana 1.5% pada November 2023 disebabkan kenaikan pada restoran dan hotel (4.3%), makanan dan minuman bukan alkohol, (2.6%) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan bakar lain (1.7%) dan kekal pada 1.5% bagi Disember 2023,” tambahnya.

 

Sementara itu, Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia merekodkan negatif 1.5% pada November 2023 dipengaruhi oleh penurunan dalam semua sektor kecuali bekalan air yang meningkat 1.0%. Pada Disember 2023, IHPR terus mencatatkan penurunan 1.3%.

 

Meneliti sudut perdagangan pula, beliau berkata jumlah dagangan negara menyusut 2.4% daripada RM237.6 bilion kepada RM231.8 bilion pada November 2022 dengan eksport menurun 5.9% kepada RM122.1 bilion, manakala import meningkat 1.7% kepada RM109.7 bilion, iaitu peningkatan pertama sejak Februari 2023.

 

 

dosm

 

 

“Imbangan dagangan kekal dalam lebihan sebanyak RM12.4 bilion, menyusut 43.1% berbanding tahun sebelumnya. Pada Disember 2023, jumlah dagangan adalah RM225.1 bilion, dengan eksport berjumlah RM118.5 bilion dan import merekodkan RM106.7 bilion,” katanya.

 

Mohd Uzir menambah, pasaran buruh Malaysia pada November 2023 meningkat 2% atau 322,500 orang, mencapai 16.43 juta orang berbanding tahun sebelumnya dengan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada bulan tersebut kekal 70.1%.

 

Menurut beliau, jumlah tenaga buruh naik 1.7% atau 291,000 orang kepada 16.71 juta orang dan pada masa yang sama, kadar pengangguran pada November 2023 mencatatkan 3.3%, lebih baik berbanding 3.4% pada bulan sebelumnya.

 

Beliau berkata pada November 2023, Indeks Pelopor Malaysia menyusut 0.2% kepada 109.8 mata berbanding 110.0 mata tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh penurunan 25.8% dalam bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan.

 

“Selain itu, Indeks Perusahaan Bursa Malaysia berkembang 17.1 % sejak Mei 2023, menandakan trend positif. Prestasi Indeks Pelopor bulanan menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dengan memulih kepada 0.5% berbanding bulan sebelumnya, didorong oleh peningkatan import benar semi konduktor (1%),” kata Mohd Uzir merumuskan laporan itu. - DagangNews.com