Ekonomi Malaysia mempamerkan daya tahan mengejutkan dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini - FMM | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia mempamerkan daya tahan mengejutkan dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini - FMM

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan pada separuh pertama tahun ini, dengan ekonomi negara berkembang 5.9% pada suku kedua , meningkat daripada 4.2% pada suku pertama, kata Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM).

 

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pertumbuhan itu didorong oleh pemulihan yang kukuh diterajui eksport, permintaan domestik yang teguh dan lonjakan ketibaan pelancong.

 

“Ini menandakan kadar pertumbuhan tertinggi sejak suku pertama 2017, menjadikan purata pertumbuhan bagi separuh pertama tahun itu kepada 5.1%,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Soh, landskap ekonomi global tahun ini telah dibentuk oleh beberapa faktor termasuk konflik geopolitik, dasar monetari ketat dan ekonomi China yang perlahan.

 

Di sebalik cabaran ini, beliau berkata ekonomi global, khususnya daya tahan Amerika Syarikat, serta menekankan prestasi ekonomi AS adalah penting dalam menentukan laluan pertumbuhan global masa depan.

 

“Cabaran dasar jangka pendek Rizab Persekutuan adalah untuk mengimbangi risiko inflasi dan pengangguran. 

 

"Penunjuk kadar pengangguran dan jualan runcit, mencadangkan pasaran buruh yang beransur-ansur mereda, memberikan keyakinan Fed untuk mempertimbangkan pemotongan kadar akhir tahun ini,” ujar beliau. 

 

Beliau meramalkan bahawa ekonomi China akan terus menghadapi cabaran, terutamanya dalam sektor hartanah, keyakinan perniagaan yang lemah dan tekanan deflasi.

 

Beliau memerhatikan bahawa ekonomi China berkembang sebanyak 4.7% pada suku kedua, turun daripada 5.1% pada suku pertama.

 

“Dengan pengeluaran perindustrian yang perlahan dan pengangguran meningkat, prospek ekonomi China kekal tidak menentu melainkan kerajaan mempertingkatkan usaha rangsangan,” katanya.

 

Soh menegaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia telah dipacu oleh sektor eksport yang teguh meningkat sebanyak 8.4% pada suku kedua.

 

Beliau berkata pertumbuhan ini telah disokong oleh permintaan kukuh untuk komoditi, elektronik dan produk petroleum. 

 

Selain itu, sektor pembuatan juga mendapat manfaat daripada pengembangan kapasiti dan penempatan semula, sebahagiannya disebabkan oleh sekatan AS terhadap teknologi China.

 

“Sebagai contoh, Infineon telah membuka kilang semikonduktor baharu di Kulim dan Chery akan mula mengeksport dari kilang baharunya di Shah Alam menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.

 

 

hhh
SOH THIAN LAI - Gambar FMM

 

Soh berkata, perbelanjaan penggunaan swasta melebihi jangkaan, meningkat sebanyak 6 % pada suku kedua.

 

Beliau berkata, ini sebahagiannya disebabkan kelewatan pemotongan subsidi dan langkah dasar kerajaan baharu seperti kewujudan akaun ketiga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi keperluan segera dan kecemasan.

 

Selain itu, beliau berkata, kenaikan gaji penjawat awam dijangka meningkatkan lagi perbelanjaan.

 

Beliau juga menekankan pelaburan swasta menunjukkan pertumbuhan teguh didorong oleh projek infrastruktur berbilang tahun dan merealisasi projek yang diluluskan.

 

Di samping itu, beliau juga berkata, sektor pelancongan juga menunjukkan prestasi kukuh dengan ketibaan pelancong meningkat sebanyak 28.9% pada 1HFY24, menjananakan pendapatan besar kepada negara.

 

“Inflasi dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini, dengan Bank Negara Malaysia mengunjurkan peningkatan terkawal dalam unjuran rasmi 2% hingga 3.5%.

 

“Ringgit telah melantun semula dengan kukuh berbanding dolar AS, mencecah paras tertinggi selama 18 bulan dan dijangka mengekalkan kecenderungan yang meningkat dalam beberapa bulan akan datang,” tegas beliau.

 

Beliau juga menggariskan momentum pertumbuhan yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku kedua. 

 

Menurut kaji selidik FMM, ramalan baharu itu mencadangkan pertumbuhan berkemungkinan melebihi julat sasaran kerajaan iaitu 4% hingga 5% dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) disemak semula sebanyak 5.1%.

 

Beliau berkata, pelaburan swasta dan perbelanjaan penggunaan juga telah disemak, mencerminkan trajektori pemulihan ekonomi yang kukuh.

 

“Di sebalik ketidaktentuan global, ekonomi Malaysia berada pada laluan pemulihan yang teguh dan kami menjangkakan ekonomi akan meneruskan aliran pertumbuhan positif sepanjang tahun ini,” ulas Soh.- DagangNews.com