Ekonomi Malaysia pada 6 bulan terakhir 2021 dijangka menguncup sekitar 0.8%  | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia pada 6 bulan terakhir 2021 dijangka menguncup sekitar 0.8% 

PROSPEK ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik pada 2022. - Gambar hiasan oleh Jia Le
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Malaysia dijangka menyaksikan penguncupan ekonomi sekitar 0.8% hingga 1.8% dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tempoh separuh kedua tahun 2021 (2H21). 

 

Ini merupakan penyusutan daripada pertumbuhan 7.1% yang dicatatkan pada 1H21.

 

“Pelaksanaan ‘lockdown’ yang bermula pada Jun menjejaskan ekonomi. Ini dicerminkan oleh pertumbuhan lebih perlahan pada kadar 0.5% dari segi Indeks Pelopor (IP) berbanding tahun lalu, sementara bagi perbandingan bulan ke bulan, ia menyusut untuk tiga bulan berturut-turut sebanyak 2.8%. 

 

“Walaupun ‘lockdown’ dan cabaran domestik mendatangkan risiko penurunan besar kepada pertumbuhan, perdagangan luaran, harga komiditi yang kukuh, pelaksanaan rangsangan, namun sehingga ke tahap tertentu, pembukaan ekonomi secara perlahan akan terus menyokong pertumbuhan,” jelas AmBank Research dalam satu nota kajian.

 

IP Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif, meningkat 0.5% tahun ke tahun kepada 105.6 mata pada Jun 2021, daripada 105.1 mata pada Jun 2020, sementara  Indeks Harga Pengguna (IHP) pula meningkat 2.2% kepada 122.5 pada Julai 2021 dan kekal positif untuk bulan keenam berturut-turut sejak Februari 2021 berikutan kesan asas rendah pada tahun lepas.

 

Bagi penganalisis di CGS-CIMB Research, Lim Yee Ping, situasi itu menunjukkan dasar monetari Malaysia akan terus akomodatif. 

 

Beliau seterusnya menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan kekal pada 1.75% bagi tahun ini untuk menyokong ekonomi. 

 

“Memandangkan prospek ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik pada 2022, kami mengunjurkan OPR akan mengikuti peralihan menaik itu secara perlahan-lahan dalam kadar faedah jangka pendek dan jangkaan inflasi di peringkat global. 

 

“Kami mengunjurkan 75 mata asas (bps) ditingkatkan dalam kadar itu menjelang penghujung 2022, dengan lonjakan pertama dijangka seawal Mei 2022,” kata Yee Ping.

 

Sementara itu, MIDF Research masih mengekalkan unjuran inflasi IHP kepada purata 2.3% bagi sepanjang tahun ini, yang mencerminkan lonjakan daripada asas rendah pada tahun 2020. 

 

Firma itu tidak menolak kemungkinan bahawa kadar inflasi akan menjadi lebih sederhana pada baki beberapa bulan untuk tahun ini. 

 

“Berdasarkan data IHP pada Julai 2021, kami menjangkakan perbelanjaan domestik yang lemah dan tekanan harga asas yang menyusut akan mendorong inflasi yang lebih rendah pada 3Q21,” jelas firma itu. - DagangNews.com