Ekonomi Malaysia Q2 berkembang 16.1% | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia Q2 berkembang 16.1%

 

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Ekonomi Malaysia berkembang 16.1% pada suku kedua 2021 berbanding penguncupan 0.5% pada suku sebelumnya. 

 

Bagi tempoh sama tahun lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup 17.1%, paras terendah yang direkodkan sejak suku tahun keempat 1998 (-11.2%).

 

Prestasi ekonomi suku kedua ini disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport terus mantap. 

 

Pertumbuhan yang kukuh ini juga mencerminkan asas yang rendah berikutan kemerosotan aktiviti yang ketara pada suku kedua 2020. 

 

Kegiatan ekonomi meningkat pada awal suku kedua namun kemudiannya menurun berikutan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat di seluruh negara di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh Fasa 1.

 

Dalam kenyataan hari ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, meskipun langkah-langkah pembendungan telah menjejaskan pertumbuhan, namun kemampuan yang tinggi untuk membuat penyesuaian terhadap sekatan dan sokongan dasar yang sedang dilaksanakan sebahagiannya telah mengurangkan kesan langkah-langkah tersebut.

 

Pada suku berkenaan, semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan khususnya sektor perkilangan. 

 

Dari segi perbelanjaan, pertumbuhan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi dan aktiviti perdagangan yang kukuh. 

 

Bagi asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.0% berbanding 2.7% pada suku pertama yang terjejas akibat langkah-langkah pembendungan lebih ketat. 

 

Seperti dijangka, inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.1% pada suku kedua berbanding 0.5% pada suku pertama disebabkan terutama oleh kesan asas daripada harga bahan api serta luputnya kesan daripada rebat tarif elektrik bertingkat. 

 

Inflasi teras terus stabil pada 0.7% pada suku kedua tahun 2021 (suku pertama, 0.7%).

 

Kadar pertukaran asing


Dari segi kadar pertukaran, BNM berkata, ringgit menambah nilai sebanyak 0.1% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua 2021. 

 

"Penambahan nilai ini sebahagian besarnya disebabkan oleh nilai dolar AS yang semakin lemah pada awal suku kedua berikutan penurunan kadar hasil bon Perbendaharaan AS benar yang menyebabkan pelabur beralih kepada aset yang memberikan kadar hasil yang lebih tinggi. 

 

"Bagaimanapun, jangkaan terhadap dasar monetari kembali ke paras wajar pada kadar yang lebih cepat berikutan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) pada Jun menyebabkan pelabur mengimbangi semula portfolio mereka kepada aset dalam denominasi dolar AS pada akhir suku kedua," jelasnya.

 

Sejak 1 Julai, ringgit menyusut nilai sebanyak 1.7% berbanding dengan dolar AS (setakat 9 Ogos). 

 

Penyusutan ini sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang serantau lain berikutan dolar AS yang secara keseluruhan bertambah kukuh. 

 

Memandangkan keadaan berhubung dengan momentum pemulihan ekonomi global dan dalam negeri pada masa hadapan masih tidak menentu, ringgit dijangka terus terdedah kepada tempoh volatiliti yang ketara.

 

Keadaan pembiayaan

 

Pembiayaan bersih kepada sektor swasta mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.4% pada suku kedua berbanding 4.7% pada suku pertama. 

 

Pertumbuhan pinjaman terkumpul menjadi sederhana kepada 3.6% manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat kepada 6.9%. 

 

Pinjaman perniagaan terkumpul mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 1.3% berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi pinjaman berkaitan pelaburan. 

 

Bagaimanapun, pertumbuhan modal kerja terkumpul meningkat pada suku tersebut. Bagi isi rumah, permintaan terhadap pinjaman terus menggalakkan terutamanya bagi pembelian harta tanah kediaman. - DagangNews.com