Ekonomi Malaysia sudah mula tunjuk tanda-tanda pemulihan sejak Q3 2023 - HSBC | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia sudah mula tunjuk tanda-tanda pemulihan sejak Q3 2023 - HSBC

Terdapat trend menggalakkan dalam perdagangan dengan penurunan eksport menguncup kepada satu digit sejak Oktober./Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 15 Jan - Ekonomi Malaysia telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan pada separuh kedua 2023 apabila mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun lebih kukuh daripada yang dijangkakan iaitu sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga.

 

HSBC berkata, walaupun begelut dengan kemerosotan perdagangan global terutama dalam sektor pembuatan yang menguncup sebanyak 0.1 peratus tahun ke tahun pada Q3 selepas pertumbuhan 0.1 peratus pada Q2 2023, terdapat trend yang menggalakkan dalam perdagangan dengan penurunan eksport menguncup kepada satu digit sejak Oktober.

 

"Kelemahan itu kebanyakannya disebabkan pembetulan mendadak dalam pasaran komoditi global terutama minyak, gas asli cecair (LNG) dan minyak sawit," tambah bank itu.

 

HSBC Global baru-baru ini menyemak unjuran pertumbuhan Malaysia dengan meramalkan pertumbuhan 4.1 peratus untuk 2023 (meningkat daripada 3.8 peratus), mengambil kira hasil positif pada Q3 dan jangkaan peningkatan beransur-ansur dalam kitaran perdagangan.

 

“Di sebalik sedang mengawal inflasi dengan menyatakan inflasi mereda di bawah dua peratus tahun ke tahun, Malaysia bagaimanapun menghadapi potensi risiko daripada perubahan Bajet 2024 termasuk kenaikan dua peratus mata dalam cukai perkhidmatan dan pengurangan subsidi bahan api.

 

"Unjuran inflasi bagi 2023 diturunkan sedikit kepada 2.5 peratus manakala unjuran 2024 kekal pada 2.4 peratus," kata HSBC dalam tinjauan pasaran Malaysia baru-baru ini.

 

Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengekalkan kadar OPR pada 3.0 peratus sejak Mei, berbeza dengan negara jiran yang baru-baru ini menyaksikan kenaikan OPR.

 

HSBC menekankan puncanya adalah disebabkan oleh inflasi di Malaysia berjaya dikawal dengan baik, sebahagiannya disebabkan oleh subsidi  berterusan.

 

“Kami jangkakan BNM akan mengekalkan pendirian ini sehingga akhir 2024, berpotensi diikuti dengan pemotongan kadar 25 mata asas pada suku pertama 2025.

 

"Bagaimanapun mungkin terdapat peralihan ke arah lebih ketat jika inflasi melonjak berikutan peralihan kepada subsidi bersasar pada 2024," tambahnya.

 

HSBC menyatakan bahawa pemulihan baru dalam kitaran elektronik global seperti di Korea Selatan dan Singapura memberikan harapan untuk paaran eksport Malaysia.

 

"Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang konsisten meletakkan Malaysia sebagai salah satu penerima utama di ASEAN, meningkatkan kapasiti sektor pembuatan untuk lonjakan semula apabila kitaran perdagangan berubah kedudukan.

 

"Selain itu, sektor berkaitan pelancongan Malaysia yang dirangsang oleh inisiatif seperti program pengecualian visa kepada pelancong China menyumbang kepada daya tahan ekonomi dan daya saing negara," tambahnya.- DagangNews.com