Ekonomi suku kedua berkembang 14.3%, ramal Kenanga | DagangNews Skip to main content

Ekonomi suku kedua berkembang 14.3%, ramal Kenanga

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 April - Firma penyelidikan, Kenanga Research menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua 2021 (2Q21) sehingga 14.3% berbanding 10.3% dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Unjuran pertumbuhan ekonomi sepanjang tahun ini juga dinaikkan kepada 6.5% berbanding 4.5%, sejajar dengan julat ramalan KDNK yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM), antara 6.0% hingga 7.5%. 

 

Semak naik unjuran itu bagi menggambarkan prestasi yang lebih baik dalam indikator ekonomi domestik serta global baru-baru ini, termasuk suntikan fiskal tambahan bernilai RM20 bilion menerusi pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), kata Kenanga. 

 

“Walaupun bimbang terhadap gelombang ketiga jangkitan COVID-19 di peringkat global, namun ekonomi domestik dijangka mencatatkan lonjakan kukuh bagi 2Q21 didorong oleh pemulihan ekonomi berterusan,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Tambah Kenanga, permulaan vaksinasi COVID-19 bagi fasa kedua pada 17 April ini dengan kemungkinan kelonggaran sekatan pergerakan akan menyuntik pemulihan dalam aktiviti pembelian terutamanya sektor yang bergantung kepada pergerakan pengguna. 

 

Kata firma penyelidikan itu, dengan prospek hasil yang bertambah baik, sentimen perniagaan dijangka terus meningkat sekali gus membawa kepada aktiviti pelaburan lebih besar. 

 

Ramalan KDNK
DATA pertumbuhan dan ramalan KDNK oleh Kenanga Research

 

Ini akan memberi kesan limpahan kepada pasaran buruh, unjur Kenanga.

 

“Di peringkat luaran, pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dalam kalangan rakan perdagangan utama, pembukaan semula sempadan antarabangsa secara beransur-ansur dan kitar tinggi teknologi akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan eksport Malaysia yang lebih pantas,” kata Kenanga lagi.

 

Ramal Kenanga, permintaan teknologi global yang kukuh serta eksport komoditi termasuk getah dan produk hiliran minyak sawit mentah dan minyak mentah akan merancakkan pertumbuhan nilai tambahan pembuatan di negara ini.

 

Dibantu oleh peruntukan rangsangan yang besar dalam projek infrastruktur, pertumbuhan sektor pembuatan dijangka melonjak sebanyak 28.0% bagi suku ini, lonjakan tertinggi dalam tempoh dua dekad. 

 

Sektor itu sekali gus akan menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada pertumbuhan KDNK pada kadar 0.9 mata peratusan, ujar Kenanga. - DagangNews.com