IOI Corporation diunjur catat untung bersih sehingga RM320 juta pada 1QFY25, kata CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

IOI Corporation diunjur catat untung bersih sehingga RM320 juta pada 1QFY25, kata CIMB Securities

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov -  CIMB Securities mengunjurkan IOI Corporation Bhd menjana keuntungan bersih teras antara RM280 juta dan RM320 juta pada 1QFY25, meningkat daripada RM242 juta pada 4QFY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata demikian selepas pengumuman keputusan suku tahunan syarikat bersekutu milik 32% IOI Corp, Bumitama Agri, yang menyumbang sekitar RM205.6 juta atau 19% kepada keuntungan bersih teras FY2024 IOI Corp sebanyak RM1.09 bilion.

 

CIMB Securities berkata, ramalannya berdasarkan kepada pengeluaran kumpulan yang lebih tinggi, harga isirung sawit yang lebih kukuh dan peningkatan keuntungan perniagaan hiliran.

 

“Pendapatan 1QFY25 IOI Corp dijangka melebihi kira-kira 21% hingga 25% daripada ramalan keuntungan setahun penuh kami. 

 

“Keuntungan bersih yang dilaporkan mungkin lebih tinggi berikutan keuntungan tukaran mata wang asing sekitar RM380 juta pinjaman dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh sebanyak RM4.1/AS$1 pada akhir September 2024 berbanding RM4.72/AS$1 pada akhir Jun 2024 ,” katanya dalam satu nota hari ini.  

 

Mengenai unjuran kewangan yang lebih luas, firma penyelidikan itu menganggarkan hasil IOI Corp mencecah RM11.05 bilion pada FY25, meningkat daripada RM9.6 bilion pada FY24.

 

Katanya, ramalan keuntungan bersih terasnya berjumlah RM1.3 bilion, diterjemahkan kepada pendapatan sesaham sebanyak 21 sen, yang menandakan pertumbuhan 19.5% daripada FY24.

 

“Penarafan semula ini termasuk kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) dan peningkatan pendapatan hiliran. 

 

“Oleh itu kami mengekalkan panggilan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM4.38,” katanya.- DagangNews.com