KUALA LUMPUR 14 Nov - Walapun Khazanah Nasional Bhd dan Pelaburan Nasional Bhd (PNB) merupakan pelabur minoriti namun masih memainkan peranan proaktif dalam membantu Fashion Valet dalam memberikan bimbingan strategi serta nasihat kewangan kepada ahli pengurusan tertinggi syarikat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagaimanapun impak daripada cabaran-cabaran yang dihadapi terlalu besar, menyebabkan situasi kewangan syarikat semakin parah.
"Khazanah dan PNB mengakui bahawa hasil pelaburannya tidak selari dengan unjuran pulangan pelaburan dalam Fashion Valet.
"Bagaimanapun, pihak Khazanah dan PNB akan terus menambahbaik mekanisme tadbir urus dan tatakelola masing-masing. Memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiasat kes ini, dan audit dalaman masih berjalan, Khazanah dan PNB perlu diberi ruang untuk proses siasatan ini diselesaikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) semasa sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Suntikan pelaburan oleh Khazanah dan PNB ke dalam Fashion Valet digunakan untuk mengembangkan platform Fashion Valet supaya menjadi platform e-dagang serantau bagi jenama tempatan.
Khazanah dan PNB menilai Fashion Valet untuk potensi pelaburan pada tahun 2017, Fashion Valet merupakan sebuah platform fesyen e-dagang yang mempunyai lebih daripada 400 jenama dan 15,000 produk, dengan hasil perniagaan pada 2017 hampir RM60 juta dan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dari 2013 sebanyak lebih 100%.
Amir Hamzah berkata, kegagalan Fashion Valet dikaitkan dengan beberapa faktor luaran yang di luar jangka termasuk implikasi COVID-19, perubahan trend platform fesyen e-dagang dan cabaran pengumpulan dana.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan semasa COVID-19 menjadi menghalang perniagaan fizikal Fashion Valet dan mengakibatkan pasaran untuk pakaian premium, termasuk tudung, merosot dengan ketara malahan kedai fizikal yang kurang mendapat sambutan juga terpaksa ditutup.
Beliau berkata, perkembangan pesat jenama-jenama fesyen tempatan, terutamanya fesyen sopan, yang menggunakan saluran jualan e-platform tersendiri, berserta saluran alternatif mudah akses seperti Facebook, telah menyebabkan Fashion Valet mengalami saingan yang hebat.
Oleh itu, platform Fashion Valet terpaksa ditutup dan seterusnya, Fashion Valet telah beralih fokus kepada jenama sendiri, iaitu dUCk dan LILIT.
"Kesemua cabaran ini telah menyebabkan kekangan aliran tunai kepada Fashion Valet.
"Ia berusaha mengumpulkan dana baharu untuk menangani masalah ini, tetapi pemegang saham sedia ada termasuk Khazanah dan PNB tidak bersetuju untuk mengambil risiko tambahan dengan menambah pelaburan dalam Fashion Valet menyebabkan proses pengumpulan dana yang dijalankan tidak berjaya," katanya.- DagangNews.com