Ekoran desakan PM letak jawatan, pasaran tempatan ditutup rendah | DagangNews Skip to main content

Ekoran desakan PM letak jawatan, pasaran tempatan ditutup rendah

 


ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Selepas gagal memperoleh pengisytiharan darurat semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassan berdepan asakan supaya beliau melepaskan jawatan tersebut pada ketika negara masih lagi bergelut dalam menangani gelombang ketiga pandemik COVID-19.

Ketidaktentuan politik yang semakin tegang sejak Jumaat lalu terus menjejaskan pasaran tempatan apabila indeks FBM KLCI bergerak dalam jajaran lemah sepanjang hari ini dengan mencecah paras serendah 1,482.8 mata.

Pasaran tempatan ditutup rendah petang ini, selepas susut 0.03 mata kepada 1,494.61 mata yang menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung pada 790 berbanding 256 manakala 422 kaunter tidak berubah. 

Indeks itu berlegar antara 1482.15 hingga 1497.54 mata dengan 5.08 bilion saham diniagakan bernilai RM4.71 bilion. 

Pagi ini, pasaran tempatan dibuka lemah pada 1,492.79 mata setelah susut 1.85 mata berbanding Jumaat lalu, 1,494.6 mata.

Pada tengah hari, indeks FBM KLCI susut 7.7 mata kepada 1,486.94 mata manakala ringgit pula berada dalam paras terendah untuk tempoh 4 minggu, susut 0.2% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

Ringgit juga terus menyusut apabila ditutup petang ini pada RM4.1630/1670 berbanding dolar AS setelah dibuka rendah pada RM4.1550/1600 berbanding Jumaat lalu, RM4.1500/1600. 

Perdana Menteri dalam kenyataan semalam memberitahu jemaah menteri akan berbincang dengan lebih lanjut berhubung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengenai keputusan Baginda untuk tidak mengisytihar darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di Malaysia buat masa ini kerana tidak wujud keperluan.

Sejak pagi ini, Muhyiddin mempengerusi Mesyuarat Khas Kabinet dan dipercayai turut mengadakan pertemuan bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.

Difahamkan, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan membuat keputusan malam ini, sama ada UMNO dan BN kekal menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin atau sebaliknya.

Selain Malaysia yang berdepan konflik politik, negara jiran Thailand turut berdepan masalah sama apabila penunjuk perasaan di negara itu meneruskan gesaan peletakan jawatan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha. 

Ini susulan pada Khamis lalu, Prayut mengisytiharkan 'situasi darurat di Bangkok' untuk mengharamkan perhimpunan lebih daripada lima orang, yang dilaksanakan pada 4 pagi (waktu tempatan) dalam usaha mengakhiri tunjuk perasaan jalanan yang berlarutan selama tiga bulan.

Penganalisis di Mizuho berkata, pada ketika negara-negara di seluruh dunia sedang bergelut untuk memulihkan ekonomi disebabkan wabak COVID-19 dan mengharungi perang dagangan antara AS-China, sebaliknya perkara terakhir yang diperlukan negara ekonomi ASEAN adalah krisis politik. 

Sementara itu, ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, walaupun indeks FBM KLCI susut sedikit tetapi ia mencecah paras terendah dalam dagangan hari ini disebabkan ketidaktentuan politik.

Jelasnya, antara 30 ahli FBM KLCI, Petronas Dagangan Berhad merupakan saham yang mengalami kerugian tertinggi sebanyak 2.39%. 

"Oleh itu, Indeks Sektor Tenaga Bursa (Bursa Malaysia Energy Index) merupakan sektor yang merekodkan penuruan prestasi tertinggi iaitu 1.40%," katanya kepada DagangNews.com hari ini. 

Menurut beliau, pada masa sama, saham perladangan yang merupakan ahli FBM KLCI seperti Sime Darby Plantation, Kuala Lumpur Kepong, IOI Corporation semuanya menunjukkan peningkatan sekurang-kurangnya 1%.

"Susulan itu, Indeks Sektor Perladangan Bursa telah meningkat sebanyak 1.54% pada hari Isnin, peningkatan tertinggi. 

"Sektor-sektor lain yang mengalami peningkatan adalah Indeks Sektor Teknologi Bursa yang telah naik sedikit sebanyak 0.07% kerana para pelabur masih menumpu kepada potensi permintaan syarikat teknologi berikutan makin ramai para pekerja perlu bekerja dari rumah," katanya. 

Petang ini, kerajaan mengambil keputusan untuk terus melanjutkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 9 November. - DagangNews.com